Penyokong Indonesia rosakkan 44 kerusi stadium bernilai RM11,000

single-image

KUALA LUMPUR: Sebanyak 44 kerusi bernilai kira-kira RM11,000 dirosakkan penyokong Indonesia ketika perlawanan aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang menyaksikan Malaysia menewaskan skuad Garuda 2-0, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Nik Razeen Adam Daud, berkata laporan kerosakan itu akan diserahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat untuk tindakan susulan.

“Setakat ini, terdapat 44 kerusi yang dilaporkan pecah dan perkara itu akan disampaikan kepada FAM, secara kebiasaannya dan mengikut perjanjian sebelum ini, pihak terbabit akan menanggung kos kerugian peralatan stadium.

“Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) FAM pula menetapkan sebarang aduan diterima perlu disampaikan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), kita akan tunggu keputusannya nanti (tindakan susulan laporan kerusi stadium rosak),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Razeen berkata insiden itu bukan isu besar sehingga memerlukan mendesak PSM mengadakan perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi membincangkan isu berbangkit.

“Ini bukan isu besar (rosakkan kerusi stadium), tidak perlu sampai nak jumpa menteri (Syed Saddiq).

“Isu ini antara PSM dan FAM, bagaimanapun pada akhirnya menteri akan mendapat laporan penuh mengenai insiden yang berlaku,” katanya.

Ditanya jika kerajaan Indonesia harus memikul tanggungjawab terhadap insiden itu, Nik Razeen berkata pihaknya tiada hak untuk menyatakan sedemikian sebaliknya ia tertakluk kepada bidang kuasa FAM.

Sementara itu, seorang pengguna Twitter, Nazrin Ahmad menggesa Syed Saddiq untuk meminta Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Zainudin Amali tampil bertanggungjawab terhadap kes kerosakan kerusi berkenaan.

“Jika mereka (kerajaan Indonesia) tidak bayar (ganti rugi), panjangkan perkara ini kepada FIFA.

“Ia bagi memastikan Indonesia mendapat pengajaran supaya (bersikap) lebih bertanggungjawab apabila berkunjung ke tempat orang,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.