Penyewa rumah PPR dan RSK Johor dikecuali bayaran April hingga Jun

single-image

JOHOR BAHRU, 25 MAC: Kerajaan negeri Johor memberikan insentif pengecualian bayaran sewa rumah dan kedai kepada penyewa daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di negeri Johor.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata pengecualian tersebut akan memberi manfaat kepada 2,989 penyewa PPR dan RSK di seluruh negeri ini.

“Pemberian insentif pengecualian sewa itu bermula pada bulan April hingga Jun 2020.

“Pengecualian diberikan kepada penyewa yang telah menduduki PPR dan RSK setakat pengisian sebelum bulan Februari 2020 dengan kos anggaran sebanyak RM4.8 juta,” kata Hasni pada sidang media di Kota Iskandar, hari ini.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga akan membantu golongan B40 yang telah membeli Rumah Mampu Biaya Johor, Jenis A di bawah Skim Perumahan Prihatin Johor (SPPJ) menerusi Belanjawan Johor 2020.

“Kerajaan negeri bersetuju menangguhkan pembayaran balik Skim Sewa Milik selama enam bulan untuk kes yang layak kerana hilang mata pencarian,” katanya.

Hasni yang juga ADUN Beut berkata, kerajaan Johor juga akan menggandakan peruntukan RM600 ribu kepada RM1.2 juta untuk memperluaskan pelaksanaan program Bank Makanan di seluruh negeri Johor.

“Ia bertujuan untuk membekalkan makanan keperluan harian kepada golongan B40 yang amat memerlukan khususnya dalam kalangan penerima bantuan e-kasih, asnaf zakat dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya lagi.

Sumber : Johorkini.com

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.