Pengarah Jentera PH bagi PRK Tanjung Piai

single-image

MUAR: Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal hari dilantik sebagai Pengarah Jentera Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 November ini.

Pelantikan Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu diumumkan oleh Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat PH Johor di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Pagoh, hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, PH Johor berharap dengan kepemimpinan beliau akan membantu PH memperoleh kemenangan, sekali gus mengekalkan kerusi Parlimen Tanjung Piai pada PRK akan datang.

“Dr Sahruddin akan dibantu oleh ketua parti dalam komponen PH iaitu Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengerusi BERSATU Johor, Mazlan Bujang.

“Bagi peringkat kawasan pula, Ketua Bilik Gerakan PH (untuk PRK Tanjung Piai) akan digalas oleh Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini,” katanya pada sidang media di Pejabat BERSATU Bahagian Pagoh di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Majlis Presiden PH berkata, mesyuarat PH Johor hari ini turut mengatur strategi terperinci bagi menghadapi PRK Tanjung Piai yang memerlukan komitmen secara total daripada semua parti komponen di dalam PH.

Katanya, ia termasuk memahami isu yang ada di kawasan terbabit sama ada bersifat nasional, negeri mahu pun tempatan yang sememangnya sudah berada dalam perhatian pihaknya.

“Kita juga anggap persaingan PRK ini sebagai begitu mencabar dan kita tidak boleh memandang mudah. Saya percaya pihak pembangkang pun sedia untuk mencabar dan kita akan hadapi realiti dan apa jua situasinya.

“Kita berharap pengundi di Tanjung Piai yang lebih 52,000 pengundi akan memberi sokongan padu (kepada PH) walaupun ia satu PRK, kami sedar ia signifikan bukan sahaja di peringkat nasional, mungkin juga antarabangsa.

“Negara akan memerhatikan apa yang hendak diputuskan oleh pengundi di situ yang memberi pelbagai isyarat. Namun, kita sedia hadapi apa sahaja kemungkinan sebab itu jentera kita susun dan sedia untuk menentukan kita mencapai kemenangan,” katanya.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, beliau menerima tanggungjawab yang diberikan dan akan melaksanakan dengan penuh amanah.

“Insya-Allah kita akan jalankan tugas dengan sebaik mungkin dengan kerjasama daripada sahabat parti dari komponen PH.

“Insya-Allah kita akan bekerja bersama-sama dan kita akan menang di PRK Tanjung Piai kelak,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, dari PH-BERSATU pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Dr Md Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pakar bius dari segi kerjaya, membantu PH merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14, tahun lalu.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, memperoleh 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.

Jeck Seng mendapat 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi.

sumber : berita harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.