Penahanan anggota rasuah hasil kerjasama dengan SPRM – JPJ

single-image

Kuala Lumpur: Tangkapan tujuh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibuat susulan perbincangan empat mata antara Ketua Pengarah JPJ dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam beberapa siri mesyuarat.

JPJ dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua pihak sedia maklum mengenai perkara itu dan bersepakat untuk mengambil tindakan penguatkuasaan secara bersama.

Menurutnya, JPJ menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada SPRM untuk siasatan lanjut dan sentiasa bersedia memberikan kerjasama.

Katanya, kerjasama berkenaan dalam bentuk pertukaran maklumat dan info bagi memastikan aspek penyelewengan, salah laku dan salah guna kuasa yang menjurus kepada gejala rasuah dapat dibanteras.

“JPJ juga dimaklumkan SPRM akan mengambil tindakan sama terhadap mana-mana pihak pemain industri yang disyaki terbabit serta bersubahat ataupun bersekongkol terhadap warga kerja terbabit.

“Ketua Pengarah JPJ menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga kerja jabatan yang didapati bersalah serta disabitkan kesalahan, yang menyentuh mengenai aspek integriti,” katanya, hari ini.

Tambahnya, JPJ akan sentiasa komited di dalam membanteras gejala rasuah dan meneruskan kerjasama padu dengan SPRM demi mengelak daripada berlakunya sebarang kegiatan yang tidak bermoral ini khususnya yang membabitkan ketirisan hasil kerajaan.

SPRM menahan tujuh petugas kaunter JPJ hari ini bagi membantu siasatan urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) membabitkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor.

Menurut sumber, mereka yang ditahan itu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 42 tahun.

Sumber : Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.