Pemimpin PH Johor mempersoalkan tindakan istana Johor?

single-image

Selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran daripada Barisan Nasional jelas dapat dilihat sebenarnya banyak isu-isu yang mengundang kepada persekitaran yang tidak sihat.  Selama hampir 11 bulan kerajaan Pakatan Harapan memerintah banyak kritikan yang yang dilemparkan bukan sahaja dari blok pembangkang tetapi dalam kalangan penyokong mereka sendiri.

Malah sepanjang tempoh 11 bulan ini juga kebanyakan keputusan yang diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan akan membelakangkan kepentingan rakyat. Apabila keputusan yang sudah diambil mendapat kecaman rakyat barulah ketika itu kerajaan mula mahu menyelami suara rakyat. Ini yang menjadi punca utama yang mendorong kepada ketidakpuashatian dan ketidakharmonian rakyat di negara ini.

Keadaan ini bukan sahaja berlaku di peringkat persekutuan tetapi ia turut berlaku di peringkat kerajaan negeri. Di peringkat kerajaan negeri Johor seperti mana yang kita tahu institusi istana Johor yang terdiri daripada Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor sentiasa lantang melontarkan pandangan bagi melihat kemajuan negeri Johor dari semasa ke semasa.

Namun apa yang jadi sejak kebelakangan ini banyak isu polemik politik dikaitkan dengan institusi istana Johor. Di mana pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan Johor seolah-olah tidak dapat menerima setiap kritikan yang dibuat oleh institusi istana Johor. Sedangkan institusi istana Johor  memberi kritikan dan bersuara semata-mata untuk mempertahankan hak rakyat yang sepatutnya diperjuangkan.

Adakalanya ada sahaja tindakan yang dilakukan oleh institusi istana Johor tidak kena di mata mereka. Ada juga antara pemimpin Pakatan Harapan Johor sentiasa mempersoalkan tindakan yang dilakukan oleh institusi istana Johor. Malah mereka juga kerap kali tidak senada dengan setiap keputusan yang dibuat oleh institusi istana Johor.

Misalnya, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dan Ahli Parlimen Iskandar, Lim Kit Siang yang baru-baru ini secara terang-terangkan tidak menyokong akan keputusan penarikan diri negara daripada menyertai perjanjian statut rome.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin juga antara pemimpin Pakatan Harapan Johor yang tidak ‘sebulu’ dengan institusi istana Johor. Hal ini kerana beliau terus-terusan mempersoalkan tindakan sultan Johor mewartakan rizab Pulau Kukup sebagai tanah kesultanan.

Lain pula ceritanya dengan pemimpin muda Pakatan Harapan Johor iaitu tidak lain tidak bukan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang acap kali boleh kita lihat beliau melancarkan ‘perang terbuka’ di media sosial.

Ada sahaja kritikan yang ingin dilontarkan kepada Tunku Mahkota Johor dan terbaru melalui hantaran ‘tweet’ nya pada hari ini beliau seakan-akan cuba membuka peluang masyarakat supaya mengecam dan mengkritik istitusi istana Johor. 

Jelas kesemua ini memberi pengaruh dan persepsi yang kurang baik kepada rakyat khususnya rakyat Johor terhadap institusi istana Johor. Malah situasi programatik ini secara tidak langsung akan menimbulkan permasalahan dalam menentukan hala tuju Pakatan Harapan Johor di peringkat kerajaan negeri.

Jadi melihat kepada kemelut pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu sebaik sahaja Osman Sapian melepaskan jawatannya itu. Ada baiknya jika pihak tertentu menilai kembali sama ada perlu atau tidak diteruskan sahaja pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan Johor atau mengambil sahaja keputusan untuk membubarkan Dewan Negeri Johor seperti mana yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Jika keputusan pembubaran ini diambil saya yakin dan pasti ia memberi peluang kepada rakyat  untuk memilih kerajaan yang benar-benar layak mentadbir negeri Johor. Sekali gus ia juga langkah terbaik daripada melihat institusi istana Johor terus diperlekehkan dan dipermainkan oleh golongan-golongan yang tertentu.

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.