Pemilihan Mohd Sharim pada PRK DUN Chini bukti UMNO buka ruang kepada orang lain

single-image

TEKA teki siapa calon yang akan mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai 2020 ini akhirnya terjawab semalam.

Anak Peneroka Felda Chini 3 yang juga Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan, Mohd Sharim Md Zain, 41, menjadi pilihan UMNO dan BN untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

Pemilihan Mohd Sharim membuktikan bahawa UMNO dan BN tidak ketandusan pemimpin untuk diketengahkan oleh parti keramat ini.

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berterima kasih kepada Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepimpinan UMNO Negeri Pahang dan kepimpinan UMNO Bahagian Pekan kerana membuka ruang kepada orang muda untuk menjadi calon mewakili parti pada PRK DUN Chini.

Keputusan itu sekali gus membuktikan UMNO dan BN merupakan parti yang berjiwa besar dan berfikiran terbuka dengan menerima orang muda yang mempunyai kepandaian serta berkebolehan.

Sewajarnya UMNO dan BN melakukan transformasi kepimpinan dan pendekatan bagi memulihkan semula maruahnya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Selepas PRU-14, UMNO dan BN tidak boleh lagi mengetepikan dan meminggirkan suara anak muda.

UMNO dan BN perlu berani mengetengahkan pemimpin muda yang berpotensi untuk mengembangkan idealisme mereka khususnya mendekati serta menarik golongan muda yang tidak memilih BN pada PRU-14 lalu.

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mengucapkan tahniah kepada Mohd Sharim kerana dipilih sebagai calon untuk mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRK DUN Chini.

Dengan pengalamannya sebagai Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan dan anak peneroka Felda Chini 3, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor yakin Mohd Sharim calon yang tepat untuk mewakili rakyat di tanah rancangan berkenaan.

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor yakin Mohd Sharim akan diterima semua golongan usia termasuk golongan muda yang membabitkan 56 peratus pengundi muda di DUN Chini.

Terima kasih juga kepada pengundi di DUN Chini yang bakal memastikan kemenangan besar calon UMNO dan BN pada PRK berkenaan.

MOHD HAIRI MAD SHAH
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.