Pembukaan sempadan Johor-Singapura mungkin mula dengan sektor pendidikan

single-image

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan pembukaan skim ke-3 pengaturan perjalanan harian (DCA) sempadan Johor-Singapura dijangka bermula dengan sektor pendidikan, kata Menteri Besar Johor Hasni Mohammad.

Dalam catatan di Facebook Hasni berkata, beliau mengharapkan Putrajaya boleh menyatakan status terkini cadangan melaksanakan DCA itu memandangkan kerajaan negeri sudah mengemukakan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) lengkap dan komprehensif bagi tujuan itu.

Catatan itu dimuat naik Hasni selepas beliau menyertai sidang video khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, petang tadi.

“Dalam mesyuarat itu sekali lagi saya menekankan tentang keperluan pembukaan skim ke-3 ‘Daily Commuting Arrangement’ untuk sempadan Johor-Singapura.

“Ianya mungkin boleh dimulakan dengan sektor pendidikan terlebih dahulu,” katanya.

Minggu lalu, Hasni dalam kenyataan menyarankan SOP khusus kepada kerajaan pusat bagi pembukaan skim ke-3 selepas Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), iaitu DCA dengan pihak Singapura.

Hasni berkata, walaupun kuasa penuh pembukaan sempadan kedua-dua negara dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan, Johor sudah bersedia dengan kapasiti sepatutnya, bagi menjayakan Daily DCA seperti diutarakan.

“Pembukaan skim ke-3 ini amat penting bagi memudahkan lagi pergerakan rakyat Malaysia yang masih berada di Singapura sejak bermula penutupan sempadan Malaysia dan Singapura, 8 bulan lalu,” katanya dalam kenyataan itu.

Sempadan Malaysia dan Singapura ditutup sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu, bagi mengekang penularan Covid-19.

September lalu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dilaporkan berkata, pembukaan sempadan sepenuhnya Malaysia-Singapura bergantung kepada situasi semasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) hingga Disember ini.

Beliau dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan akan meneliti kes dan perkembangan penularan wabak Covid-19 sepanjang tempoh itu sebelum memutuskan pembukaan pintu sempadan berkenaan.

Sumber : Freemalaysiatoday.com

Leave a Comment

Your email address will not be published.