Pembatalan HSR KL-Singapura ‘bunuh’ ekonomi Johor dan negara

single-image

PEMBATALAN HSR KL-SINGAPURA ‘BUNUH’ EKONOMI JOHOR DAN NEGARA

  1. Tempoh penangguhan Projek HSR KL-Singapura yang berakhir 31 Disember lalu, akhirnya menjurus kepada pembatalan projek ini selepas kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat untuk meneruskan projek ini.
  2. Pembinaan projek HSR sudah dua kali ditangguhkan sejak perjanjian dua hala Malaysia-Singapura dimeterai pada Disember 2016. Penangguhan kali pertama sehingga Mei lalu menyaksikan Malaysia membayar kos penangguhan sebanyak RM45 juta kepada republik berkenaan.
  3. Kos keseluruhan asal pembinaan HSR untuk laluan sepanjang 350 kilometer ini dianggarkan menelan belanja RM110 bilion dan akibat pembatalan ini, kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM300 juta, di mana jumlah itu boleh menampung defisit kewangan Johor dan diagihkan kepada ramai penerima manfaat di negeri ini.
  4. Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mendesak kerajaan memberi penjelasan terperinci mengenai perkara ini, mengapa sebelum ini kerajaan yakin mengatakan HSR diteruskan, malah dalam ucapan Perdana Menteri bersama masyarakat di Pagoh beberapa bulan lepas sebelum pembentangan Belanjawan 2021 dengan bangga mengumumkan projek ini akan diteruskan, tetapi mengapa keputusan u-turn pula dibuat?
  5. Kesan pembatalan HSR bukan sahaja kepada reputasi Malaysia terhadap pelabur asing dan juga keyakinan negara luar terhadap Malaysia, namun lebih besar lagi kesan mikro ekonomi terhadap masyarakat di Johor khususnya.
  6. Sebelum ini, pelan pembangunan menunjukkan 3 daerah di Johor terlibat untuk pembinaan stesen HSR iaitu Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri (Johor Bahru), apa jadi dengan pelan pembangunan kawasan ini? Mereka yang sudah membeli lot komersial, kediaman di kawasan ini kerana dimomokkan dengan wujudkan pengangkutan awam keretapi laju berdekatan kediaman mereka? Apa jadi dengan mereka semua ini?
  7. Bagaimana pula dengan 70,000 peluang pekerjaan apabila projek ini dibatalkan? Bagaimana pula dengan peluang perniagaan kontraktor kecil Bumiputera yang boleh mendapat manfaat dan limpahan jika projek ini dijalankan, tetapi sebaliknya berputih mata.
  8. Besar impaknya terhadap konteks mikro di Johor terutama 3 daerah yang terlibat secar terus dengan projek HSR ini, sehubungan itu Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mendesak dan meminta kerajaan segera memberi penjelasan inklusif mengenai situasi ini.
  9. Dua isu pokok dan penting yang perlu diperjelaskan serta dimaklumkan kepada umum adalah, PERTAMA: Implikasi kewangan kerajaan apabila terpaksa membayar RM300 juta jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada Singapura dan KEDUA adalah perancangan kerajaan untuk membantu dan meneruskan kelangsungan 3 daerah yang terlibat dengan stesen HSR ini.

MOHD HAIRI BIN MAD SHAH
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published.