Pakatan Harapan Johor : 1 tahun yang gagal dan haru-biru

single-image


Imbas kembali setahun yang lepas, tarikh yang penuh keramat yang pasti diingati oleh rakyat Malaysia iaitu pada 9 Mei 2018 di mana buat pertama kalinya parti pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara ini. Tidak lain tidak bukan parti Pakatan Harapan yang diterajui oleh Tun Mahathir.

Malah tanggal 9 Mei 2018 juga menyaksikan perubahan drastik yang dilakukan oleh rakyat Johor yang ingin memilih kerajaan negeri Johor diterajui oleh kerajaan Pakatan Harapan Johor. Namun tanpa rakyat sedar, sebenarnya mereka melakukan kesilapan yang besar apabila terlalu tergesa-gesa menghakimi kerajaan Barisan Nasional Johor dek kerana keterujaan mereka untuk menjatuhkan pemimpin Pusat pada ketika itu.

Lihatlah, kesan yang berlaku hingga ke hari ini dan acap kali topik politik di Johor menjadi topik perbincangan di media massa dan perbualan rakyat di kedai kopi. 

Jika kita nilai semula sejak Pakatan Harapan memerintah negeri Johor tidak banyak perubahan baik yang berlaku. Adapun perubahan dari segi penjenamaan semula segala dasar-dasar yang pernah dibuat oleh  kerajaan Barisan Nasional Johor. 

Sehinggakan keghairahan kerajaan Pakatan Harapan Johor melakukan penjenamaan semula turut memberi dampak kepada slogan ‘Muafakat Johor’. Di mana bekas Menteri Besar Johor, Osman Sapian yang pernah mencadangkan slogan ‘Muafakat Johor’ ditukarkan kepada ‘Harapan Johor’. Walau bagaimanapun, cadangan itu ditentang oleh ramai pihak termasuk pihak Istana Johor.

Malah tempoh 100 hari pertama Pakatan Harapan Johor sahaja sudah memberi bayangan bahawa mereka sebenarnya gagal menjadi sebuah kerajaan negeri. Mana tidaknya, janji 100 hari yang mereka janjikan dan ditawarkan kepada rakyat gagal ditunaikan dengan baik. Mustahil kewangan menjadi alasan untuk mereka tidak menunaikan janji kerana saya yakin kerajaan sebelum ini sudah meninggalkan wang yang cukup buat negeri ini. Jadi apa alasan mereka?

Bertambah huru-hara apabila sebelum ini Osman Sapian dengan tanpa rasa serba salah memberi ‘green light’ untuk ister-isteri menjadi wakil rasmi Menteri Besar Johor serta merasmikan program-program kerajaan negeri. Apa yang lebih penting, perkara ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Menteri Besar Johor sebelum ini. Jadi ini merupakan sejarah baru yang dilakarkan oleh kerajaan negeri Johor apabila mereka berjaya mengambil alih pemerintahan negeri Johor.

Selepas berlakunya kejadian itu, Osman Sapian banyak menerima kecaman dari rakyat di tambah lagi dengan masalah sering hadir lewat ke majlis-majlis rasmi. Secara tidak langsung, ia memberi impak kepada prestasi Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor pada ketika itu. Malah hari demi hari, Osman Sapian juga dilihat semakin gagal memainkan peranan sebagai Menteri Besar Johor apabila ada Sahaja isu yang dikaitkan dengan dirinya.

Sehinggalah kemuncak kepada era pentadbiran Osman Sapian apabila dikaitkan dengan tiga isu panas iaitu isu pergi ke Batam ketika bencana Sungai Kim Kim, isu skandal pembelian rumah banglo secara tunai dan isu gagal menjelaskan mengenai hab pemindahan kapal ke kapal (STS) yang dicaturkan oleh kerajaan pusat. 

Ketiga-ketiga isu ini telah membawa kepada peletakan jawatan Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor secara mengejut dan digantikan dengan Dr Sahruddin Jamal. Peletakan jawatan tersebut sekali gus mencipta sejarah baru apabila Osman Sapian menjadi insan pertama yang memegang jawatan Menteri Besar Johor yang paling singkat. 

Namun keadaan tetap sama, tetap huru-hara walaupun Menteri Besar Johor sudah bertukar.  Malah selepas Osman Sapian meletakan jawatannya, apa yang boleh dilihat semakin terserlah konflik dalaman yang berlaku dalam kerajaan Pakatan Harapan Johor. Lebih-lebih lagi apa yang sedang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akhir-akhir ini.

Bermula dengan pepecahan kepada beberapa puak-puak dalam PPBM Johor dek kerana Menteri Besar yang baharu ini dikatakan tidak mendapat restu dari Perdana Menteri. Berlarutan sehingga perebutan jawatan tertinggi kepimpinan PPBM di peringkat negeri dan dikhabarkan Dr Sahruddin juga bakal digugurkan sebagai Setiausaha PPBM Johor.

Jadi kesemua permasalahan ini menyebabkan perjalanan atau pelaksanan untuk membangunkan negeri Johor dalam tempoh satu tahun ini menjadi begitu perlahan dan terencat tanpa kita sangka-sangka. Tidak seperti era pemerintahan Barisan Nasional Johor pada ketika dahulu yang kita tahu mereka mempunyai perancangan yang tersusun dan rapi tidak seperti kerajaan negeri pada hari ini. 

Contoh paling mudah, selama setahun ini berapa banyak unit Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) yang dahulu dikenali sebagai Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) telah dibina oleh kerajaan Pakatan Harapan Johor? Langsung tiada sebarang berita tentang inisiatif ini, yang ada cuma penyerahan kunci kepada pemilik rumah, itupun projek yang dijalankan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Bayangkan jika perkara ini berterusan tidakkah ia hanya merugikan negeri dan khususnya rakyat Johor sendiri?

Suka saya ingatkan kepada kerajaan Pakatan Harapan Johor supaya berhentilah bermain politik sesama sendiri. Sekarang bukan masanya untuk berpolitik lagi tetapi sudah tiba masanya untuk menjaga kepentingan rakyat dan menjalankan tugas sebagai kerajaan yang baik kepada rakyat negeri Johor. 

Sekian

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.