Osman Sapian salah guna kuasa mahu lantik isteri-isteri dalam PDK?

single-image

Pada bulan Februari yang lalu, Menteri Besar Johor ada mengeluarkan satu surat rasmi berkenaan dengan tadbir urus Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Negeri Johor. Dalam surat tersebut kerajaan negeri Johor di bawah Menteri Besar Johor, Osman Sapian ada menyatakan bahawa pihak kerajaan akan membuat pelantikan baru terhadap jawatankuasa PDK.

Jadi secara tidak langsung Osman Sapian telah mengeluarkan arahan supaya jawatankuasa lama melepaskan jawatan mereka dengan kadar segera. Tindakan ini dilakukan untuk membolehkan kerajaan negeri melantik jawatankuasa yang baharu. Yakni jawatankuasa tersebut terdiri dalam kalangan isteri-isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen di bawah kerajaan negeri.

Persoalannya sekarang, apa hak Osman Sapian untuk mengeluarkan arahan sebegitu rupa apatah lagi mengarahkan jawatankuasa PDK yang sedia ada untuk melepaskan jawatan mereka secepat mungkin?

Setahu saya, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) ini di bawah seliaan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Bukannya tertakluk di bawah kerajaan negeri Johor. Jadi justifikasi apa yang digunakan oleh kerajaan negeri untuk membuat semula pelantikan jawatankuasa di setiap PDK di Johor ?

Jadi kenapa Osman Sapian beria-ia mahu jawatankuasa yang ada sekarang ini letak jawatan sedangkan Mereka masih sah dari segi perlembagaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)? Atau sebenarnya adakah Osman Sapian mahu isteri-isterinya sendiri yang mengisi jawatan berkenaan?

Sepatutnya Osman Sapian dan kerajaan negeri menghormati keputusan yang dibuat oleh pihak PDK. Jika benar-benar ingin melantik isteri-isteri ADUN atau Ahli Parlimen yang baru sebagai jawatankuasa, kenapa tidak sehingga Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) diadakan semula? Kenapa secara mengejut seperti ini?

Yang jelas, tindakan ini tidak adil bagi jawatankuasa yang sedia ada kerana mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi tiada angin tiada ribu tiba-tiba sahaja mereka diarahkan untuk melepaskan jawatan mereka. Jadi adilkah bagi mereka diperlakukan seperti ini oleh kerajaan negeri Johor?

Malah apabila arahan seperti ini dikeluarkan ia seolah-olah memperlihatkan Osman Sapian dan kerajaan negeri sama sekali tidak menghormati lantikan yang telah dilakukan sebelum ini. Lebih penting lagi, tindakan ini juga boleh disifatkan sebagai tindakan yang zalim dan biadap!

Ini kerana kerajaan negeri bukanlah sosok yang tepat untuk masuk campur dalam urusan pelantikan jawatankuasa PDK, ia adalah tugas NGO yang terlibat. Jadi Osman Sapian dan kerajaan negeri tiada hak untuk menentukan jawatankuasa setiap PDK di Johor.

Lagipun apa jaminan yang boleh diberikan oleh Osman Sapian dan kerajaan negeri Johor bahawa lantikan yang baharu ini boleh meningkatkan kecekapan setiap PDK di Johor?Saya yakin, pelantikan baharu ini belum tentu mampu menjanjikan kemajuan kepada PDK seperti jawatankuasa yang sedia ada sudah lakukan.

Jangan kerana terburu-buru untuk memberikan jawatan kepada isteri-isteri ADUN dan Ahli Parlimen sehingga ia boleh menjejaskan prestasi dan pengurusan PDK yang sedia ada. Jadi sebelum masuk campur urusan PDK ada baiknya fahami dahulu selok-belok PDK, jangan main redah sahaja.

Malah Osman Sapian perlu ingat jangan dek kerana ada kuasa, beliau boleh sesuka hati gunakan kuasanya untuk memberikan arahan yang tidak masuk akal seperti ini. Ingatlah setiap apa yang kita ada tidak kekal lama jadi gunalah kuasa dan mandat yang diberikan oleh rakyat sebaik-baiknya sebelum rakyat berubah fikiran.

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.