Osman disaran lepas jawatan

single-image

 

JOHOR BAHRU : Dewan Muda Johor (DMJ) mahu Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mengambil langkah berjiwa besar melepaskan jawatannya de­ngan cara terhormat, jika benar spekulasi beliau akan ditukar.

Menurut DMJ, cara begitu adalah lebih baik dan terpuji untuk Osman daripada membiarkan negeri ini terus diheret dalam kancah politik dalaman yang sememangnya bakal me­rugikan rakyat dan Johor jika spekulasi itu dibiar.

“Spekulasi Johor bakal mendapat Menteri Besar yang baharu pastinya menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan rakyat, malah bakal memberikan imej tidak baik terhadap negeri dan menimbulkan kebimbangan kepada pelabur untuk melabur di Johor.

“DMJ juga melihat kemelut baharu itu ada kaitan dengan krisis kesepakatan dalam kalangan parti Pakatan Harapan (PH) de­ngan setiap parti sudah tentu bercita-cita untuk meletakkan calon mereka sebagai Menteri Besar.

“Ini bukan satu situasi yang baik kerana secara tidak langsung boleh menyebabkan Menteri Besar sedia ada seolah-olah tidak mendapat sokongan bagi menumpukan usaha memajukan rakyat dan negeri ini,” menurut DMJ dalam kenyataan di sini hari ini.

DMJ percaya bahawa sebuah kerajaan negeri yang baik pastinya mempunyai kesepakatan baik, saling mempercayai dan paling penting tidak mempunyai agenda politik tertentu dengan dipimpin ketua yang dihormati.

Namun, kata DMJ, apa yang berlaku adalah Johor sejak diambil alih kerajaan PH memperlihatkan Menteri Besar mentadbir negeri ini berseorangan tanpa sokongan dan dokongan daripada barisan Exco serta wakil rakyat blok kerajaan sendiri.

“Bermula defisit kepercayaan terhadap kejujuran kelayakan akademik sehingga caranya menguruskan bencana toksik di Sungai Kim Kim, dan kemuncaknya lawatan ke Batam, Indonesia meninggalkan rakyat di Pasir Gudang.

“Ia bukti jelas, kerajaan ne­geri Johor pada hari ini rapuh dan hilang identiti pemimpin yang memimpin dan situasi itu pastinya sesuatu yang tidak sihat untuk kestabilan dan kemakmuran rakyat dan negeri ini.

“Jadi, desakan serta saranan bahawa Menteri Besar Johor ditukar atau dirombak dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan adalah sesuatu yang tentunya tidak memeranjatkan kita,” tambah kenyataan itu.

Justeru, kata DMJ, daripada terus berspekulasi serta mengambil kira imej beliau yang sudah tercalar, adalah lebih baik Menteri Besar Johor berjiwa besar melepaskan jawatan dengan cara terhormat.

Kepada rakyat Johor, DMJ mengajak semua bersama-sama mendoakan yang terbaik dan menyokong segala tindakan serta jalan yang terbaik untuk negeri ini.

Sumber : Utusan Online

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.