Orang Muda Johor Aset Negeri Johor

single-image
Generasi muda di Johor atau lebih sinonim dengan Orang Muda Johor (OMJ) merupakan golongan yang menjadi fokus utama dalam Dekad Baharu Johor. Orang Muda Johor adalah golongan belia yang terdiri daripada putera-puteri bangsa Johor yang berperanan sebagai pewaris kepimpinan akan datang.
Malah golongan ini juga merupakan aset terpenting dan sumber terbesar kepada negeri Johor dan negara. Bukan itu sahaja, zaman belia ini juga dikatakan sebagai zaman yang paling unik dalam kehidupan kita. Hal ini kerana pada tahap ini mereka masih mempunyai jiwa muda dengan semangat berkobar-kobar dan masih dalam era produktif.
Mungkin sesetengah dari kita menganggap atau melihat golongan belia ini sebagai watak sampingan, golongan yang lemah dan mempunyai peranan yang terhad dalam menggerakkan pembangunan negeri mahupun negara.
Namun apabila diperhalusi golongan ini adalah golongan yang berpotensi untuk dilentur dan dibentuk sebagai agen penggerak kepada masa hadapan negera.
Benarlah firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Rum ayat 54 yang menjelaskan :
“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu. Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa”.
Jadi kita perlu mengambil pengajaran dari ayat ini untuk memanfaatkan dan merebut seberapa banyak peluang yang ada di depan mata dalam usia yang masih muda ini. Kita perlu sedar bahawa kebangkitan golongan belia mampu menyumbangkan sesuatu yang berharga kepada negeri Johor mahupun negara.
Tetapi tidak dinafikan juga, dalam membentuk Orang Muda Johor tidak semudah yang difikirkan. Pelbagai cabaran yang mendatang perlu dilalui lebih-lebih lagi dalam era serba moden yang dibantu dengan teknologi canggih. Sudah tentu ia mendatangkan implikasi yang besar kepada gaya pemikiran dan gaya kehidupan golongan belia.
Walau bagaimanapun, sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri Johor untuk membentuk dan memperkasakan potensi Orang Muda Johor. Bagaimana ia terjadi, sudah tentu menerusi :
Pertama, semuanya bermula dengan pendidikan formal dan tidak formal. Di Johor semua Orang Muda Johor berpeluang untuk mendapat pendidikan seawal berumur 6 tahun hingga ke peringkat tertinggi. Menyediakan pendidikan terbaik dan lengkap adalah perkara penting untuk menjana modal insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, jasmani dan rohani.
Kedua, memberi tumpuan kepada akademik semata-mata tidak semestinya dapat menjamin peribadi Orang Muda Johor. Kemahiran yang ada dalam diri Orang Muda Johor juga merupakan nilai penting bagi memastikan Orang Muda Johor serba boleh dalam semua perkara.
Jadi bagi membangunkan potensi Orang Muda Johor, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Skill Johor. Skill Johor merupakan hab latihan kemahiran bagi mengasah bakat dan potensi Orang Muda Johor.
Ketiga, menyediakan peluang pekerjaan kepada Orang Muda Johor. Orang Muda Johor berhak diberikan peluang dalam radar pembangunan dan kemajuan Johor. Secara tidak langsung, ia dapat dijadikan sebagai anjakan dalam usaha membentuk identiti Orang Muda Johor.
Keempat, malah kesungguhan Kerajaan Negeri juga dapat dilihat melalui inisiatif yang disediakan kepada Orang Muda Johor. Inisiatif dari Kerajaan Negeri merupakan prasyarat untuk membangunkan potensi Orang Muda Johor. Sehubungan dengan itu, Iskandar Malaysia Port Orang Muda Desa telah dibangunkan sebagai pusat aktiviti dan tempat berkumpul bagi golongan belia.
Kesemua ini merupakan usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk membangunkan golongan belia. Malah, dapat dilihat juga bahawa Kerajaan Negeri sangat komited dalam merancang pelbagai pelan tindakan jika sesuatu perkara itu melibatkan golongan belia Johor.
Jadi dengan adanya usaha-usaha ini pastinya Orang Muda Johor mampu dibentuk dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri Johor mahupun negara. Jika mereka dapat dibentuk dengan didikan sempurna sudah pasti mereka mampu meneruskan legasi kepimpinan negeri Johor pada masa akan datang.
Sebagai negeri yang maju ke hadapan, peranan dan sumbangan dari Orang Muda Johor amat penting bagi pembangunan Johor. Secara kesimpulannya, kita perlu buktikan kepada orang luar bahawa negeri Johor mempunyai golongan belia termahal dan paling berharga pada masa akan datang dengan memanfaat segala inisiatif dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.
Oleh : Nor Syakinah Md Nukman
Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.