Onn Hafiz sindir kerajaan PH Johor dari awal hingga akhir ucapan

single-image

ISKANDAR PUTERI 2 Julai – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang hari ini menggunakan giliran beliau berucap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk menyindir kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Sindiran oleh ADUN Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu berikutan laporan pencapaian prestasi kerajaan PH yang kononnya sangat cemerlang biarpun baru setahun memerintah diterima beliau baru-baru ini.

Beliau memulakan sindiran kepada kerajaan negeri dengan mengatakan pentadbiran Johor adalah paling cekap dan cemerlang dalam sejarah negeri ini, hakikatnya, kata Onn Hafiz, Johor melakar sejarah apabila memegang rekod terpantas menukar Menteri Besar dan barisan Exconya.

“Kerajaannya juga stabil. Tidak ada krisis kepimpinan di peringkat negeri kerana semuanya bergerak sebagai satu pasukan. Tidak ada team MB dulu, tidak ada team MB sekarang dan tidak ada team yang bercita-cita mahu menjadi MB.

“Mengenai Sungai Kim Kim, seperti yang diumumkan pada bulan Mac lalu di Pulau Batam semasa bermain golf. Pencemaran air dan udara di sungai itu tidak berlaku lagi, apa yang kita lihat agaknya hanya simulasi kot!,” katanya.

Sindiran Onn Hafiz diteruskan dengan mengatakan ramai anak-anak muda Johor yang bekerja di Singapura sudah pulang ke tanah air kerana terdapat satu juta peluang pekerjaan dengan tawaran gaji sama tinggi seperti ditawarkan di negara itu.

Tambahnya lagi, anak-anak muda juga berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH, mereka pulang ke kampung berhari raya dengan perasaan gembira kerana duit gaji minimum RM1,500 sebulan selain duit PTPTN tidak perlu dibayar.

“Saman AES juga sudah dihapuskan, mana ada lagi “speed trap” di lebuh raya, cuma tahun ini kesesakan di Simpang Renggam luar biasa kerana tol di situ satu-satunya yang percuma di dunia

“Rata-rata pemimpin PH semuanya berkelayakan belaka selain ada ijazah palsu, mereka juga mendapat ijazah menerusi universiti dalam talian dengan jurusan memasak sebab itu juga penguasaan bahasa Inggeris mereka semuanya cemerlang dan kandungan ucapan juga bernas,” sindirnya.

Onn Hafiz berkata, semua itu cuba dibayangkan oleh kerajaan PH yang tidak berpijak di bumi nyata sekali gus beliau khuatir jika sindrom penafian itu diteruskan, maka negara dan negeri Johor akan masuk ke satu era kegelapan.

Tegasnya, baik kerajaan mahu pun kerajaan negeri perlu sedar bahawa rakyat tidak gembira dengan pencapaian mereka kerana rakyat sedang berhempas pulas di luar sana begitu juga mereka di Pasir Gudang sedang bertarung nyawa.

“Cukup-cukuplah berpolitik, betulkan niat, Yang Amat Berhormat (YAB) bertanggungjawab ke atas 3.6 juta rakyat Johor, setiap daripada kami tidak kira agama dan bangsa yang bermastautin di bumi bertuah Johor adalah di bawah tanggungjawab YAB. 

“Jangan sia-siakan amanah dan tanggungjawab ini. Turunlah padang….tengok dan lihat sendiri apa yang berlaku di bawah, fokuslah kepada kerja,” katanya.

Sumber daripada Utusan Online

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.