Muar, JB dilanda banjir

single-image

Johor Bahru: Beberapa kawasan di Muar dan bandar raya ini mula dilanda banjir selepas hujan lebat berlarutan selama beberapa jam, sejak tengah hari tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Muar, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Muar berkata, antara kawasan terjejas di Muar adalah Parit Masjid, Kampung Parit Othman Kiri, Jalan Sungai Terap, Jalan Sungai Abong serta Pekan Bukit Pasir.

“Hujan lebat mulai 1 tengah hari hingga 4 petang di sekitar Muar menyebabkan lima rumah penduduk terjejas, namun, tiada mangsa dipindahkan kerana limpahan air berlaku di halaman rumah sahaja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemantauan di tempat berisiko sedang giat dijalankan memandangkan satu daripada tiga stesen hujan di kawasan itu mencatatkan bacaan taburan hujan melebihi 31 milimeter (mm).

Ia juga mengambil kira keadaan Sungai Panchor yang sudah menunjukkan bacaan air paras amaran iaitu 1.52 meter, setakat 12.30 tengah hari.

Sementara itu, kawasan yang dinaiki air di bandar raya ini membabitkan Kampung Datuk Hajah Hasnah di Majidee dan Kampung Sepakat, Masai di Pasir Gudang.

Bagaimanapun, maklumat jumlah rumah dan mangsa yang terjejas belum diperoleh.

Sumber : Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.