MP Pasir Gudang & ADUN Permas hilang ketika rakyat Pasir Gudang dalam kesusahan?

single-image

Pada minggu lepas, negeri Johor dikejutkan dengan bencana penyebaran gas kimia berbahaya akibat pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. Ramai pelajar dari SK Taman Pasir Putih dan SMK Pasir Putih dikejar ke hospital kerana mengalami sesak nafas dan pengsan di sekolah masing-masing.

Namun selang beberapa hari kemudian, gelombang kedua penyebaran gas kimia menyerang kembali kawasan di sekitar Sungai Kim Kim. Kali ini pelajar dari SK Tanjung Puteri Resort dan SMK Tanjung Puteri Resort pula menjadi mangsa. Menurut sumber, keadaan ketika berlakunya gelombang kedua tempoh hari amat-amat mencemaskan dan sangat huru-hara.

Sehingga ke hari ini, seramai 206 orang telah dimasukkan ke hospital dan 6 daripadanya berada di ICU. Dan menurut sumber yang baru diterima, seorang pelajar dari SMK Tanjung Puteri Resort sedang kritikal dan lebih 1000 orang yang terjejas akibat bencana gas kimia berbahaya. Malah mangsa kejadiaan ini bukan sahaja melibatkan orang awam di sekitar Pasir Gudang tetapi turut melibatkan pegawai kesihatan yang bertugas.

Kejadian ini juga turut mendapat respond dari DYMM Sultan Johor apabila baginda murka dan kesal terhadap kes pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim. Tetapi malangnya, dari info yang diterima hingga ke hari ini MP Pasir Gudang dan ADUN Permas masih tidak kelihatan dan turun padang melihat mangsa gas kimia berbahaya. Betul atau tidak kita kena tanya tuan punya badan.

Malah sehingga ke hari ini jelas memperlihatkan kerajaan negeri gagal menangani situasi tegang ini. Di tambah lagi, dengan ketidakhadiran MP Pasir Gudang dan ADUN Permas menjenguk kawasan yang tercemar memberikan gambaran yang jelas bahawa mereka lambat bertindak dan tiada inisiatif untuk mengawal keadaan ini.

Sedangkan, kalau kita tengok di media sosial iaitu Facebook Hassan Karim dan Che Zakaria langsung tiada sebarang kenyataan berhubung dengan kes yang sedang berlaku di Pasir Gudang. Apa yang boleh saya lihat di Facebook Hassan Karim hanyalah posting gambar swafoto tersenyum di sidang Parlimen bersama rakan Pakatan Harapannya.

Keadaan ini seolah-olah menunjukkan bahawa MP Pasir Gudang dan ADUN Permas tidak sensitif langsung dengan keadaan rakyat Pasir Gudang yang sedang dalam kesusahan sehingga ada yang meragut nyawa. Adakah mereka tidak sensitif dengan keadaan semasa yang berlaku?

Pokok pangkalnya di mana MP Pasir Gudang dan ADUN Permas berada ketika rakyat memerlukan mereka sekarang ini? Apa sudah jadi dengan wakil rakyat Pakatan Harapan?

Dahulu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 bukan main lagi menjanjikan bulan dan bintang. Apatah lagi, semasa kempen dahulu boleh dikatakan hampir setiap hari turun padang dan berjumpa dengan rakyat. Tetapi bila sudah menang batang hidungpun tidak nampak, kenapa susah sangat mahu turun padang jumpa rakyat lebih-lebih lagi dalam keadaan rakyat Pasir Gudang yang sedang dilanda musibah ketika ini?

Setidak-tidaknya, MP Pasir Gudang dan ADUN Permas mengeluarkan apa-apa kenyataan supaya rakyat di sekitar Pasir Gudang mengambil langkah berjaga-jaga. Ini tidak satu patah perkataanpun tiada yang keluar dari mulut mereka. Jadi saya menggesa supaya MP Pasir Gudang dan ADUN Permas bertanggungjawab dan laksanakan tugas sebagai wakil rakyat.

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.