Monopoli Media Punca Kebebasan Media Di Malaysia Hanya Bersifat Retorik dan Menunggu Mati

single-image
  1. Kita dikejutkan dengan berita Utusan Malaysia terpaksa dihentikan operasi pada 9 Oktober 2019 yang lebih. Syarikat yang mempunyai dua (2) surat khabar utama iaitu Utusan dan Kosmo terpaksa dihentikan kerana syarikat tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menangung operasi dan bertindak membuat ‘penggulungan secara sukarela’.
  2. Namun disebalik berita syarikat Utusan Malaysia menghentikan operasi untuk dua akhbar tersebut, dan 800 orang kakitangan akan kehilangan pekerjaan mereka, tokoh korporat terkenal Tan Sri Syed Mokhtar telah bertindak menguasai dan menyelamatkan permit pencetakan dan arkib Utusan Malaysia, Utusan Mingguan dan Kosmo, ‘tanpa’ menyelamatkan 800 orang kakitangan Utusan yang kini terumbang-ambing nasibnya.
  3. Selain daripada Utusan, Syed Mokhtar juga telah menguasai beberapa media utama yang lain seperti menjadi pemegang saham terbesar di Media Prima Sdn Bhd yang memberinya kawalan kepada empat akhbar, empat saluran televisyen percuma, empat stesen radio, sebuah studio produksi, sebuah syarikat pengiklanan dan media digital.
  4. Dan terkini, juga terdengar khabar angin Syed Mohtar menunjukkan minat untuk membeli pegangan saham dalam akhbar The Star.
  5. Pastinya ada yang akan berpendapat perkara ini baik kerana pegangan saham ini dipegang oleh seorang usahawan Melayu dan Islam. Benar. Tetapi daripada sudut perniagaan, apa-apa yang bersifat monopoli adalah tidak sihat, dan tidak sepatutnya berlaku.
  6. Apa yang terjadi ketika ini hanya menyebabkan monopoli dan persaingan tidak sihat. Dalam masa yang sama, media yang sepatutnya bebas, kini tidak akan lagi bebas kerana faktor monopoli ini.
  7. Hal ini mengambil kira bahawa Syed Mokhtar merupakan kroni dan juga proksi kepada Tun Mahathir yang diketahui umum, bukan sahaja ketika ini, tetapi sejak Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali pertama. Pastinya Tun Mahathir akan menggunakan pengaruh Syed Mokhtar bagi mengawal media-media sedia ada dibawah kelolaan beliau untuk menyebelahi Tun Mahathir dan juga Kerajaan Pakatan Harapan seperti mana Tun Mahathir mengawal media seperti ketika zaman pemerintahan beliau buat kali pertama.
  8. Jika perkara ini dibenarkan tanpa sekatan, ia secara jelas akan bertentangan dengan janji manifesto dan perjuangan sebelum PRU-14 bagi membebaskan media daripada pengaruh politik.
  9. Mungkin selepas ini kita tidak akan dapat lagi melihat laporan berita yang adil, atau berita yang menjadi semak dan imbang kepada kerajaan sedia ada kerana kini semuanya telah berpusat dan dikawal.
  10. Jika ada yang masih mengharapkan kebebasan media di negara kita, maka boleh lupakan sahaja harapan tersebut. Kebebasan media kini hanya bersifat retorik dan menunggu mati.

Iskandar Zulkarnain
Ahli Persatuan Pemikir Muda

* Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress.

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.