Model politik baharu punca Melayu resah, marah

single-image

JOHOR BAHRU : Kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin bahawa ‘bagi Malaysia untuk berjaya, orang Melayu mesti berjaya’ adalah tidak selari dengan tindakan kerajaan Persekutuan terhadap kaum majoriti itu ketika ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) paska Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dilihat tidak menjaga hak dan kepentingan orang Melayu malah meresahkan serta menjadikan mereka marah.

Pasca PRU-14 katanya, tiada parti politik dominan yang mewakili bangsa Melayu dalam kerajaan PH malah dibiarkan melopong tatkala wacana-wacana dalam media arus perdana dan alternatif membawakan naratif yang asing dan kurang menyenangkan buat mereka.

“Keterbukaan yang melampau dan suara-suara yang mencabar hak Melayu dan kesucian agama Islam menjadi perkara lazim. Namun, sekali lagi, orang Melayu tidak beremosi. Mereka tetap tenang dan berakhlak dalam mengemudi politik era PH.

“Kalau pun wujud sense of insecurity orang Melayu yang semakin bergolak, ia berpunca daripada rasa tidak selesa dengan kemunculan model politik yang secara sistematik membenarkan identiti serta sistem nilai bangsanya diperkotak-katikkan oleh mereka yang memegang kuasa politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Daim dalam Seminar Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini baru-baru ini ketika berucap menyatakan bahawa bagi Malaysia untuk berjaya, orang Melayu mesti berjaya.

Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar berkata, model politik PH paska PRU-14 dilihat tidak menguntungkan orang Melayu apatah lagi menjaga hak dan kepentingan mereka sepertimana kerajaan terdahulu.

“Ini yang mengundang rasa tidak selesa dan rasa marah orang Melayu sama ada yang konservatif mahupun yang progresif. Kajian Ilham Centre bersama Penang Institute akhir tahun lalu menunjukkan bahawa 60 peratus orang Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan pada hari ini.

“Sementara 54 peratus berpendapat bahawa kerajaan sekarang telah mengabaikan hak-hak orang Melayu selain 62.9 peratus yakin bahawa kerajaan Persekutuan kini sedang dikawal orang bukan Muslim dan 62 peratus pula percaya bahawa DAP adalah parti yang dominan dalam PH,” ujarnya.

Katanya, amat malang jika ahli politik Melayu seperti Daim berpendapat bahawa hak istimewa bumiputera dan Islam sebagai agama Persekutuan telah termaktub dalam kerangka legalistik Perlembagaan Persekutuan, lalu tidak ada apa yang harus dibimbangkan.

“Tun Daim lupa bahawa yang tidak dicatat dan tidak ditulis dalam dokumen itu juga memainkan peranan yang sama malah lebih penting dalam memberi makna kepada Melayu dan Islam di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berjaya, orang Melayu mesti perlu di bantu untuk turut berjaya dalam pelbagai bidang dan perkara itu memerlukan kerja keras dan pemikiran yang betul selain dasar, hala tuju serta lonjakan dari pelbagai arah.

Sumber : Utusan Online

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.