Mimpi buruk Bersatu di negeri kelahiran Umno

single-image

ULASAN | Taktik untuk alihkan perhatian rakyat terhadap kekalahan PH di Tanjung Piai nampaknya menjadi apabila ia dimanipulasi dengan kehadiran anggota parlimen BN bertemu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali di kediamannya di Putrajaya.

Ketika pemimpin dan penyokong BN sedang meraikan kemenangan besar menewaskan calon PH daripada Bersatu, ia direncatkan dengan pertemuan penuh rahsia itu.

Pun begitu, PH tidak boleh melupakan “mimpi ngeri” tewas dengan majoriti besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, jika ingin menepis persepsi “kerajaan sepenggal”.

PH tidak boleh mengambil mudah kekalahan Bersatu di kerusi majoriti orang Melayu sekiranya berhasrat untuk mengambil alih kepercayaan rakyat khususnya orang Melayu.Iklan

Sehingga kini, sudah dua kerusi milik Bersatu berjaya dirampas Umno melalui BN iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan Tanjung Piai.

Kegagalan Bersatu mempertahankan kerusi kemenangannya, adalah satu tamparan hebat ketika pemimpinnya sibuk menjaja ke seluruh pelusuk bahawa pemimpin Umno terpalit dengan rasuah.

Namun, hakikatnya rakyat terus meletakkan kepercayaan kepada BN yang dipimpin Umno dengan memberi kemenangan majoriti besar kepada parti pembangkang itu. Di mana silapnya?

Apakah ini juga bukti bahawa orang Melayu tetap setia bersama Umno dan tidak boleh menerima Bersatu?

Kekalahan calon PH, Karmaine Sardini kepada calon BN, Wee Jeck Seng dengan majoriti 15, 086 undi adalah manifestasi kemarahan rakyat terhadap kerajaan PH pimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Rakyat masih belum merasai kesan daripada perubahan kerajaan seperti mana diharapkan, sebaliknya berasa lebih tertekan di bawah kerajaan hari ini yang masih gagal menunaikan “janji-janji populis” dalam pilihan raya umum lalu.

Seperti kata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan perlu melakukan perubahan yang drastik sekiranya ingin terus kekal berkuasa, “itu wajib dilakukan jika PH ingin terus kekal menerajui Putrajaya”.

Kekuatan jentera akar umbi

Yang pasti, perubahan sokongan masyarakat Cina terhadap Wee yang mewakili MCA memberi sedikit kelegaan kepada Presiden MCA, Wee Ka Siong.

Sokongan pengundi Cina kepada BN adalah satu tanda protes terhadap prestasi PH, selain tidak dapat dinafikan “track record” Wee yang cukup cemerlang menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama dua penggal.

Meskipun PH meletakkan Karmaine yang juga seorang imam dengan harapan untuk menarik sentimen pengundi Melayu, gagal diterjemahkan.

Pengundi Melayu melihat DAP di belakang Bersatu, Mahathir puluhan tahun melabelkan DAP sebagai parti rasis, cauvinis, anti Melayu/Islam dan raja-raja Melayu.

Tanggapan ini sukar dikikis dalam masyarakat Melayu, ditambah pula dengan beberapa tindakan pemimpin DAP yang sedikit sebanyak mengguris hati orang Melayu sejak parti itu bersama dalam kerajaan PH di Putrajaya.

Selain itu tidak dapat dinafikan BN mempunyai kekuatan jentera yang cukup tersusun di peringkat akar umbi berbanding Bersatu yang tidak mempunyai kekuatan itu.

Ia sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada BN, apatah lagi di negeri Johor, negeri kelahiran Umno.

Peralihan sokongan pengundi muda juga cukup ketara sekali, ia memberi gambaran “undi balas dendam” kumpulan itu terhadap PH yang telah “membunuh” hasrat mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Pelbagai janji yang ditawarkan PH dalam manifestonya untuk anak muda masih gagal diterjemahkan sehingga kini oleh Putrajaya, malah beberapa keistimewaan yang anak muda nikmati era BN kini telah terhapus.

PH perlu ubah pendekatan

PH juga perlu mengubah pendekatan kempen mereka. Pendekatan kempen yang menawarkan pembangunan tidak ubah seperti dilakukan BN sebelum ini perlu dihentikan.

Pendekatan mengecam kepimpinan BN dan bekas perdana menteri, Najib Razak tidak lagi laku. Bahkan rakyat tidak lagi peduli semua itu.

Apa yang rakyat mahu dan tagih adalah janji-janji PH untuk memberikan kesejahteraan hidup buat mereka dengan kos sara hidup yang rendah, harga komoditi yang tinggi dan mempunyai wang mencukupi untuk berbelanja.

Soal Najib dan kepimpinan BN yang dikatakan korup sudah berada di mahkamah, rakyat tidak mahu peduli dan sebaliknya menyerahkan kepada mahkamah membuat keputusan yang seadil-adilnya.

Aura Mahathir tidak lagi sehebat dulu. Ia ketara di Tanjung Piai. Jika sebelum PRU ke-14 lalu, populariti Mahathir cukup memuncak, kini mengecut bagaikan sudah hilang serinya.

Kehadiran Mahathir ke Tanjung Piai dan berkampung dua hari berturut-turut telah memberi gambaran bahawa laluan sukar buat PH.

Namun, lebih mengejutkan, sambutan terhadap Mahathir dan pemimpin PH lain cukup hambar jika dibanding dengan sambutan di pentas BN.

Bahkan kehadiran Najib yang kini berdepan pelbagai pertuduhan di mahkamah mendapat sambutan luar biasa jika dibanding dengan Mahathir.

Kenyataan-kenyataan perdana menteri yang melabel Melayu pemalas dan sedikit “pergeseran” sebelum ini dengan istana Johor juga mungkin memberi kesan di Tanjung Piai.

Jika kelemahan ini gagal diatasi, PH akan tercatat dalam “hikayat kerajaan sepenggal” di negara ini.

Sumber : malaysiakini.com

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.