Mesyuarat Khas Kerjasama Antara UMNO dan Pas

single-image

KUALA LUMPUR : UMNO dan Pas dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas UMNO dan Pas hari ini mengumumkan kerjasama rasmi kedua-dua parti dengan agenda utama memfokuskan kepada penyatuan ummah.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut berkata, agenda utama kerjasama UMNO dan Pas adalah penyatuan ummah tanpa meminggirkan kemajmukan dalam negara ini.

Jelas beliau, isu penyatuan ummah ini akan diterjemahkan sebaik mungkin kerana itu adalah tugas hakiki kedua-dua parti ini dalam menyatupadukan Melayu dan ummah.

“Sudah menjadi tugas hakiki kita untuk menyatupadukan Melayu dan ummah di Malaysia dengan jaminan akan membela kemajmukan di negara ini tanpa meminggirkan sesiapa pun baik dari segi bangsa, kaum dan agama kerana apa yang hendak kita capai dalam negara ini adalah aman damai dan sejahtera.

“Selain itu, kita berbincang berkaitan hala tuju kedua-dua parti dan politik tanah air maka kami bersetuju untuk adakan jawatankuasa kerja teknikal yang akan dipengerusikan bersama oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin dan Naib Presiden Pas Ustaz Idris Ahmad,” katanya di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Tambah Mohamad, hasil mesyuarat juga bersetuju untuk meneruskan kerjasama secara bersama dalam setiap pilihan raya kecil (PRK) akan datang.

“Mesyuarat juga bersetuju untuk memantapkan kerjasama kedua-dua parti di Parlimen sebagai pembangkang yang akan menjadi semak dan imbang.

“Kami akan menjadi pembangkang yang akan membahaskan apa sahaja isu dan akan memberi sokongan sekiranya mendatangkan manfaat untuk rakyat dan negara.

“… dan yang terakhir hasil perbincangan untuk membentuk satu kerjasama penyatuan ummah ini akan di bawa ke peringkat rakan parti masing-masing. UMNO akan membawa ke mesyuarat Barisan Nasional (BN) yang akan diadakan pada hari jumaat ini dan Pas akan membawa ke Gagasan Sejahtera. Kami tidak akan meminggirkan rakan-rakan parti masing-masing,” tegas beliau.

Ketika ditanya media berkaitan logo penyatuan, Mohamad menegaskan tidak akan ada logo kerana ini adalah kerjasama antara dua parti dan bukannya penyatuan dua parti.

Sumber : MediaUMNO

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.