Mersing, Segamat berpotensi tarik pelabur asing dalam sektor pertanian, akuakultur

single-image

MERSING : Sektor pertanian dan akuakultur di daerah Mersing dan Segamat perlu ditingkatkan bagi memenuhi permintaan tinggi daripada pelabur asing, khususnya dari Singapura.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, Kerajaan Negeri Johor akan cuba mewujudkan persefahaman dengan negara-negara yang memerlukan produk-produk yang dikeluarkan di negeri ini.

“Daerah Mersing dan Segamat mempunyai potensi yang luas. Kerajaan Negeri Johor akan memberikan tumpuan untuk meningkatkan program bantuan kepada petani dan nelayan, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi mereka.

“Ini kerana Kerajaan Persekutuan telah meningkatkan garis kemiskinan kepada RM2,208 bagi setiap isi rumah. Justeru, kita perlu meningkatkan pendapatan golongan petani dan nelayan bagi memastikan mereka berada di atas paras kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Notis 5A Felda Tenggaroh Timur 1 di Dewan Orang Ramai Felda Tenggaroh Timur 1, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, YB Tuan Raven Kumar a/l Krishnasamy serta para pemimpin masyarakat setempat.

Dalam pada masa sama, YAB Menteri Besar turut bertekad untuk meningkatkan bekalan makanan di negeri ini berada pada tahap terbaik.

“Baru-baru ini kita telah ‘dipinang’ oleh beberapa buah negara seperti Singapura dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) untuk membekalkan produk-produk makanan kepada mereka.

“Saya berharap kita perlu mengambil peluang ini dan meneroka bidang makanan sebagai pertumbuhan ekonomi baharu bagi negara kita,” katanya.

Sumber : Makmur Johor

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.