Menteri Besar serah surat penghargaan kepada polis Johor

single-image

JOHOR BAHRU : Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad menyampaikan surat penghargaan kerajaan negeri kepada 40 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Surat penghargaan itu diberikan atas kejayaan PDRM Johor membanteras pelbagai jenayah di negeri ini.

Antara kejayaan PDRM Johor adalah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di Malaysia, baru-baru ini.

Hasil operasi itu, sebanyak dua makmal memproses dan lima stor penyimpanan dadah telah dibongkar serta seramai 16 orang diberkas.

Nilai rampasan dadah dan sitaan aset dalam operasi itu berjumlah RM341.8 juta.

Selain itu, PDRM Johor juga berjaya menumpaskan empat penjenayah yang dikehendaki dan merampas sepucuk pistol revolver berserta senjata berbahaya, sekali gus menyelesaikan 46 kes samun dan pecah kilang yang melibatkan kerugian lebih RM4 juta di negeri Johor dan di lain-lain kontinjen.

Surat penghargaan itu juga diberikan kepada Pegawai Kanan PDRM Johor yang memainkan peranan penting dalam program pencegahan jenayah dan menangani masalah sosial sehingga berjaya membantu mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat dan agensi-agensi lain serta memperlihatkan komitmen PDRM dalam program transformasi kerajaan.

Datuk Hasni Mohammad menyampaikan surat penghargaan kerajaan negeri kepada 40 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Datuk Hasni Mohammad bergambar bersama kepimpinan tertinggi Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Polis Johor, Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay dan Timbalannya, Datuk Khaw Kok Chin serta barisan kepimpinan tertinggi PDRM Johor.

Dalam kunjungan itu, YAB Menteri Besar turut mendengar taklimat mengenai indeks jenayah di negeri ini yang dimaklumkan terkawal.

Menteri Besar turut mengambil maklum mengenai beberapa perkara yang dibangkitkan dan menjanjikan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam membantu Polis Johor memastikan negeri Johor aman .

Sumber : Makmur Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published.