Menteri Besar Johor tidak tahu jumlah harga kereta baru kerajaan ?

single-image

Beberapa hari lalu, kecoh mengenai pembelian kereta Toyota Camry yang dibeli oleh kerajaan negeri Johor bagi menggantikan kereta Honda Accord sebelum ini. Perkara ini turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang secara terang-terangan mempertikaikan tindakan kerajaan negeri membeli kereta baru tersebut.

Kita pun sedia maklum nombor pendaftaran JDT 1 hingga 13 merupakan kenderaan rasmi kerajaan negeri Johor untuk kegunaan Menteri Besar, Exco-Exco dan Setiausaha kerajaan negeri.   Namun agak mengejutkan juga apabila membaca satu laporan akhbar hari ini di mana Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal telah mengesahkan bahawa kerajaan negeri sudah membeli sebanyak 15 unit Toyota Camry. 

Ingatkan hanya 13 unit kereta sahaja dibeli, rupa-rupanya 15 unit kereta baharu jenis Toyota Camry. Tertanyalah juga baki dua kereta lagi diberikan kepada siapa pula? Sepatutnya 13 unit sahaja diperlukan untuk kegunaan rasmi kerajaan negeri. 

Malah dalam laporan tersebut, wartawan ada menanyakan soalan kepada Menteri Besar mengenai kos perbelanjaan yang digunakan untuk membeli kereta tersebut. Tetapi apa yang kelakarnya Menteri Besar Johor seolah-olah tidak tahu berapa jumlah sebenarnya yang telah dihabiskan untuk membeli 15 unit Toyata Camry.

Melihat reaksi ini, terlintas beberapa persoalan, bagaimana seorang Menteri Besar langsung tidak tahu berapa kos perbelanjaan yang telah digunakan untuk urusan rasmi seperti ini? Malah, adakah Menteri Besar Johor tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara ini atau sebenarnya langsung tidak ambil tahu?

Dalam hal seperti sepatutnya Menteri Besar Johor sudah ada jawapan lengkap untuk diberikan kepada wartawan jika ditanya. Jadi bagaimana proses pembelian kereta itu diuruskan jika Menteri Besar Johor sendiri baru hendak menyemak kos perbelanjaan apabila ditanya oleh wartawan? Nampak seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan kenyataan Menteri Besar Johor ini.

Sekian,

Sofia Ahmad Dani
Aktivis Muda Johor

*Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress.

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.