Menang dua PRK bukti rakyat suka PAS dan UMNO bekerjasama

single-image

Sebelum ini pembangkang pernah gagal dalam memenangi tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan selepas PRU14. Namun dapat dilihat sejak kerajaan Pakatan Harapan menghadapi defisit sokongan rakyat terhadap parti itu selepas tidak menunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14 ) yang lalu. Barisan Nasional kembali bersinar dan menjadi pilihan rakyat dalam PRK Cameron Highland dan PRK Semenyih.

Namun kemenangan dua PRK ini tidak bermakna tanpa adanya kerjasama dari UMNO dan PAS yang semakin hari dilihat semakin utuh dan erat semata-mata ingin memperjuangkan nasib bangsa dan agama.

Ternyata kerjasama antara UMNO dengan PAS merupakan formula yang tepat untuk menjatuhkan Pakatan Harapan yang semakin angkuh. Malah kerjasama ini benar-benar membuat Pakatan Harapan cemas dan gusar akan kebangkitan rakyat khususnya orang-orang Melayu.

Kekalahan berturut-turut Pakatan Harapan dalam dua PRK yang lepas jelas membuktikan bahawa ia signal awal kepada kerajaan Pakatan Harapan dari rakyat kerana sudah mempermainkan rakyat selama 9 bulan ini. Lebih jelas lagi kekalahan ini menunjukkan bahawa rakyat menolak kerajaan Pakatan Harapan.

Malah kekalahan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) secara tidak langsung membuktikan bahawa BERSATU tidak diterima oleh orang-orang Melayu. Dalam masa yang sama juga BERSATU tidak mungkin sesekali dapat menggantikan UMNO dan PAS sebagai wadah orang-orang Melayu.

Ini tidak lain tidak bukan kerana rakyat sudah sedar bahawa hanya parti UMNO dan PAS sahaja yang mampu memperjuangkan nasib orang Melayu dan agama Islam bukannya parti BERSATU. Ianya kerana UMNO dan PAS mempunyai asas perjuangan yang sama iaitu meletakkan perjuangan Islam dan Melayu dengan jelas dalam perlembagaan parti.

Jadi tidak hairanlah jika kerjasama ini diwujudkan untuk menjaga kepentingan umat Islam dan orang Melayu agar terus terbela dari semasa ke semasa di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Lebih-lebih lagi sejak Pakatan Harapan memerintah pelbagai isu yang melanda negara ini seperti isu perkauman, hak bumiputera dan hak agama turut dipertikaikan oleh golongan tertentu di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Jadi dengan adanya kerjasama ini saya pasti UMNO dan PAS mampu mengembalikan martabat orang-orang Melayu serta maruah agama Islam yang ditindas oleh sesetengah pihak di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Tetapi apa yang penting kini, penerimaan rakyat terhadap kerjasama ini ternyata tidak dapat disangkal lagi oleh mana-mana pihak. Buktinya sudah jelas, kemenangan dua PRK yang lepas sudah membuktikan bahawa rakyat selesa dengan kerjasama antara UMNO dan PAS.

Oleh itu, UMNO dan PAS perlu mengukuhkan lagi kerjasama mereka agar kebangkitan ini mampu membuka mata semua pihak bahawa merekalah sebenarnya parti yang benar-benar ikhlas memperjuangkan nasib orang-orang Melayu dan agama Islam.

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.