Menaikkan had umur persaraan bakal membunuh anak muda

single-image

Sebelum ini, negara jiran kita Singapura telah mengumumkan bahawa mereka akan menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun.

Hari ini, tiada angin tiada ribut, kerajaan Malaysia yang diwakili Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran mengumumkan pula kerajaan sudah bersedia untuk meneliti cadangan menaikkan had umur bersara pekerja daripada 60 tahun ke 65 tahun.

Sejujurnya ini merupakan satu berita yang amat mengejutkan bagi anak muda seperti saya khususnya. Tidak cukupkah umur persaraan pekerja kini pada 60 tahun? Perlukah ia dinaikkan lagi kepada 65 tahun?

Ukurlah baju dibadan sendiri, kadar pengangguran di negara kita jauh lebih tinggi daripada negara Singapura. Dalam pada yang sama, jumlah penduduk di Singapura juga tidaklah seramai di Malaysia ini, jadi wajarlah untuk mereka menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun.

Jadi rasanya tidak usahlah kerajaan terikut-ikut dengan apa yang dilaksanakan negara Singapura. Malah, isu tentang persaraan ini pun tidak perlu dibangkitkan langsung sebenarnya, cukuplah sekadar 60 tahun sahaja umur persaraan bagi pekerja yang berkhidmat dengan sektor awam di Malaysia.

Sedar atau tidak apabila kelak kerajaan benar-benar merealisasikan ‘impian’ ini, percayalah kadar pengangguran semakin tinggi. Dalam masa yang sama peluang pekerjaan bagi golongan muda juga amat tipis. Silap hari bulan ia terus membunuh nasib golongan muda di negara ini.

Bayangkan jika pekerja-pekerja yang sedia ada ini terus bekerja sehingga umur mereka mencecah 65 tahun, apakah nasib golongan muda yang masih terkapai-kapai mencari pekerjaan di luar sana? Di mana golongan anak muda untuk bekerja dalam sektor awam?

Dalam pada itu, saya juga tertanya-tanya apakah pendirian Syed Saddiq tentang had umur persaraan yang diumumkan ini? Setahu saya, beliau merupakan individu yang berkobar-kobar untuk membela nasib golongan muda sehingga sanggup mencaras kerja Menteri lain.

Dalam situasi sekarang ini pun  Syed Saddiq masih belum boleh wujudkan 1 juta peluang pekerjaan apatah lagi apabila cadangan ini benar-benarkan akan dilaksanakan suatu hari nanti. Apa yang lebih penting, di mana dasar-dasar untuk golongan muda yang Syed Saddiq sibuk gembar-gemburkan sebelum ini?

Jadi bagi pendapat saya sebagai anak muda, saya amat tidak setuju dengan cadangan kerajaan untuk menaikkan had umur persaraan pekerja dari 60 tahun kepada 65 tahun.

Sekian,

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.