Memang standard ketua ‘surat sokongan’

single-image

JIKA begitulah level Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal, maka benarlah dakwaan bahawa dia menang jawatan berkenaan atas faktor ‘surat sokongan’.

Dengan level berkenaan, maka tidak hairanlah Wan Ahmad Fayhsal angkuh dalam pertuturannya apabila mendakwa kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah adalah atas kekuatan Perikatan Nasional (PN) yang tidak dibebani dengan isu legasi dan kepercayaan serta menegaskan, kemenangan PN juga hasil kekuatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ‘tidak ponggah’, tidak angkuh dan meraikan kerjasama.

Kepada Wan Ahmad Fayhsal, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.

Mungkin dengan level ketua ‘surat sokongan’, Wan Ahmad Fayhsal tidak faham dan biarlah saya memberikan penjelasan berfakta kepadanya supaya tidak terus sombong dan angkuh.

Tahukah Wan Ahmad Fayhsal, bagaimana kerajaan PN tertubuh? Jika tiada penglibatan atau penyertaan dari Barisan Nasional (BN) dan UMNO, adakah kerajaan PN akan terbentuk?

Saya kesian kepada Wan Ahmad Fayhsal kerana dengan levelnya sebagai ketua ‘surat sokongan’ dia tidak memahami suasana politik negara.

Mungkin juga dengan level sedemikian Wan Ahmad Fayhsal cepat lupa atau tidak sedar diri apabila berjaya memenangi jawatan Ketua Armada Bersatu.

Sedar atau tidak Wan Ahmad Fayhsal, BN kini membentuk 43 kerusi di Dewan Rakyat, jumlah terbesar bagi gabungan PN.

Jika tiada sokongan BN dan UMNO, PN tidak akan terbentuk, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan menjadi Perdana Menteri, GRS tidak akan memperoleh kemenangan di PRN Sabah.

Dan satu lagi, jika PN tidak terbentuk, Wan Ahmad Fayhsal tidak akan bergelar Timbalan Menteri dan pasti sukar baginya memperoleh ‘surat sokongan’.

Satu lagi saya ingin ingatkan kepada Wan Ahmad Fayhsal, lupakah dia Bersatu hampir ‘karam’ disebabkan pergolakan politik dalam parti itu.

BN dan UMNO boleh saja membiarkan Bersatu ‘karam’ dan tegas dengan pendirian mahu Dewan Rakyat dibubarkan, tapi demi rakyat dan negara, BN dan UMNO bersedia bekerjasama dengan Bersatu dan PAS seterusnya membentuk kerajaan baru menggantikan Pakatan Harapan (PH).

Saya faham dengan level ketua ‘surat sokongan’, mungkin Wan Ahmad Fayhsal tidak sedar dengan perkara itu yang membolehkan Bersatu masih wujud sehingga kini dan terselamat serta masih menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan hari ini adalah atas jasa BN dan UMNO.

Kepada Wan Ahmad Fayhsal, janganlah baru mencapai satu kemenangan dan membentuk kerajaan negeri Sabah dengan perolehan kerusi yang ‘cukup-cukup makan sahaja’ sudah dilihat mahu mendabik dada, jika PN bersendirian kerajaan Sabah pasti kekal milik parti Warisan.

Saya juga ingin menasihati Wan Ahmad Fayhsal, jika hendak menghantar jurucakap untuk mengkritik Ketua Pemuda UMNO Malaysia setelah Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkannya jangan melampau supaya carilah seorang yang matang dan ada kedudukan bukannya budak mentah politik.

Siapa sebenarnya yang kurang kasih sayang? Wan Ahmad Fayhsal dan Luqman Hakim kah? Jika benar mendapat sokongan akar umbi, mengapa perlu bercakap tentang ‘surat sokongan’ bagi meraih undi untuk menang jawatan Ketua Armada?

Tertawa saya membaca kenyataan Luqman Hakim di dalam laman sosial Facebooknya, sudahlah ketuanya level ketua ‘surat sokongan’, pengikutnya juga level budak ‘surat sokongan’. Itu sahajakah standard Armada Bersatu?

Dalam pada itu, kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia terhadap Wan Ahmad Fayhsal bukan untuk mengungkit sebaliknya bagi memberikan penjelasan kepada ketua ‘surat sokongan’ itu.

Tentunya BN dan UMNO telah berpandangan jauh ke hadapan dan pada masa sama merapatkan hubungan “demi masa depan negara”. Kerana berpandangan jauhlah, maka wujud hubungan erat antara UMNO dan PAS, juga bekerjasama dengan PN bagi membentuk kerajaan Persekutuan. Semua itu dilakukan demi rakyat dan negara.

Dalam berpolitik, jangan selalu mendongak ke langit, sesekali ada baiknya tunduk ke bumi kerana hakikat hidup ini ibarat putaran roda.

Ada kalanya kita berada di atas namun akhirnya satu masa akan ke bawah jua. Justeru jangan angkuh, bongkak atau sombong kerana manusia akan kekal dihormati bukan kerana pangkat dan kuasa tetapi pada nilai kerendahan diri, jasa dan budi pekerti yang tinggi.

Itulah yang UMNO lakukan ketika ini. Kita bermaruah demi agama, bangsa dan negara.

MOHD HAIRI MAD SHAH
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru

Leave a Comment

Your email address will not be published.