Medan niaga Kampung Melayu Majidee : hidup segan mati tak mahu

single-image

Peniaga Medan Niaga Kampung Melayu Majidee Resah Kadar Sewa Tinggi, Suram

Kampung Melayu Majidi bukanlah satu nama asing terutamanya di kalangan penduduk tempatan Johor Bahru. Ia merupakan penempatan Melayu paling padat di Malaysia diikuti Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Terkenal dengan pelbagai tarikan, pasar awam kampung melayu adalah antara pusat berbelanja dan menjamu selera yang sering menjadi tumpuan. Pasar awam menempatkan lebih seratus lot kedai dan gerai makan yang sering menerima kunjungan orang ramai dari seluruh Johor Bahru, malah juga pengunjung dari daerah dan negeri lain.

Pada 9 Mac 2012, semasa lawatannya ke Johor Bahru, perdana menteri ketika itu, Datuk Sri Najib Razak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk pembinaan semula pasar tersebut, atas permintaan Tan Sri Shahrir Abdul Samad. Pengumuman tersebut memberi nafas baru kepada bangunan uzur yang telah beroperasi lebih 20 tahun itu.

Pengunjung dan peniaga, ketika ditanya selepas pengumuman tersebut, menyatakan keyakinan mereka bahawa pembinaan pasar baru akan membuat lebih ramai orang mengunjungi pasar itu.

Sesiapnya bangunan baru, ia telah dinamakan sebagai Medan Niaga Kampung Melayu Majidi dan telah mula beroperasi pada Januari 2018. Dengan rekabentuk moden dan kemudahan yang lebih selesa, bilangan lot perniagaan juga telah ditambah; 53 unit lot pasar, 50 unit lot bazar dan 50 unit lot medan selera.

Hasil perbincangan antara ahli-ahli majlis Barisan Nasional ketika itu dengan pihak MBJB, peniaga telah diberikan pengecualian daripada bayaran sewa untuk sepanjang 2018 kerana mereka baru memulakan perniagaan di premis tersebut. Ia juga diharapkan dapat memenuhi lot-lot perniagaan dan trafik pengunjung akan meningkat.

Pada hujung tahun lalu, pihak MBJB telah mengadakan dialog dengan para peniaga untuk membincangkan pelbagai isu. Salah satu isu tunjang ialah kadar sewa yang bakal dikenakan. Cadangan awal daripada pihak peniaga berkenaan kadar awal adalah antara RM250 hingga RM500 bergantung pada jenis dan saiz lot dengan opsyen kenaikan kadar masa depan.

Bermula 1 Januari 2019 yang lalu, peniaga mula dikehendaki membayar Fi Lesen Kebenaran Menduduki. Amaun yang dikenakan adalah antara RM371 hingga RM798, tidak termasuk csj penyelenggaraan, elektrik dan air. Kadar ini telah menyebabkan sebilangan penyewa bertindak untuk tidak berniaga di sana dan memulangkan semula lot-lot mereka kepada MBJB.

Peniaga-peniaga lain juga merasa bebanan kadar sewa yang tinggi itu namun bertekad untuk kekal dengan harapan trafik pengunjung akan bertambah sekali gus membolehkan perniagaan mereka membawa keuntungan. Setelah lebih 3 bulan membayar sewa, ramai peniaga mula merasa resah. Bukan sahaja fi bulanan tinggi terpaksa mereka tanggung, malah bilangan pengunjung amat mendukacitakan. Perniagaan mereka tergugat sama sekali hingga ada yang gulung tikar.

Beberapa peniaga telah menghubungi mantan ahli majlis setelah usaha mendapatkan perhatian ahli majlis kini tidak membuahkan hasil. Atas rasa tanggungjawab, Hajjah Saadiah membuat keputusan membuat “walkabout” bertemu para peniaga pada 12 Mac lalu bersama Ketua Pemuda Umno Johor. Hasil tinjauan mereka, rata-rata peniaga menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kadar sewa yang dikatakan terlalu membebankan.

Seorang peniaga makan berkata waktu tutup medan niaga sepatutnya pada jam 10 malam. Walaubagaimanapun, kevanyakan kedai tutup pada jam 6 petang kerana ketiadaan pelanggan. Tambah beliau, penjaja tepi jalan sekeliling medan niaga juga telah menjejaskan perniagaan mereka.

Seorang peniaga bazar pula mengatakan lebih baik bangunan usang tapi sewanya berpatutan dan jumlah pengunjungnya ramai. Dia terpaksa berniaga luar untuk menampung sewa kedai beliau.

Seorang tukang jahit yang menyewa bazar berkata setelah lebih 20 tahun berniaga di sana, mugkin dia terpaksa berhenti berniaga jika kadar sewanya yang berjumlah lebih RM800 tidak diturunkan. Ramai lagi peniaga menceritakan perih mereka sepanjang “walkabout” tersebut.

Medan Niaga Kampung Melayu Majidi yang dahulunya sibuk dengan aktiviti perniagaan kini sunyi sepi. Pusat perniagaan orang-orang Melayu dalam bandar tidak lagi meriah seperti dahulu. Ini bukanlah visi asal Tan Sri Shahrir yang bertungkus lumus memperjuangkan pembinaan semula bangunan tersebut. Ini bukanlah hasil yang Datuk Seri Najib Razak mahukan apabila peruntukan RM20 juta diberikan.

Kadar sewa yang tinggi dan kekurangan pengunjung akan membinasakan masa depan Medan Niaga Kampung Melayu Majidi dan peniaga-peniaganya.

Perhatian segera perlu diberikan untuk mengatasi masalah ini. Pengurangan kadar sewa sebanyak 25% adalah bersesuaian dan semestinya akan meringankan beban para peniaga. Ini akan memberi “domino effect” di mana kadar yang berpatutan akan dapat menarik peniaga-peniaga lain dan secara langsung lebih menarik minat pelanggan untuk berkunjung ke sana.

Dari sudut promosi, pihak MBJB disarankan untuk mengadakan acara-acara mingguan di sana. Kerjasama boleh dijalin dengan badan-badan kebudayaan misalnya.

Lebih dari itu, UMNO Johor Bahru juga menyatakan kesediaan mereka untuk membantu dalam penganjuran aktiviti dan program bagi mengembalikan zaman kegemilangan Medan Niaga Kampung Melayu Majidee

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.