MBJB benar aktiviti perniagaan ikut waktu ditetapkan

single-image

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membenarkan aktiviti perniagaan dan perkhidmatan pengangkutan awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Azhari Daud berkata, waktu operasi premis perniagaan dihadkan dan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP), hanya hospital dan klinik dibenarkan dibuka 24 jam.

“Klinik pergigian, kedai farmasi (sektor kesihatan), kedai menjual ubat-ubatan, pusat diagnostik, fasiliti perubatan tradisional dan komplimentari, pusat jagaan, pusat bersalin, pusat fisioterapi/rehabilitasi, pusat dialisis, optometri, makmal perubatan serta klinik veterinar dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 malam.

“Pasar borong (12 tengah malam hingga 5 petang), pasar sehari, pasar awam milik MBJB dan pasar awam persendirian (6 pagi hingga 2 petang) manakala pasar malam (4 petang hingga 10 malam) dan Bazar JB (6 petang hingga 10 malam),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, bagi aktiviti perniagaan lain yang dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 10 malam melibatkan restoran, medan selera/pusat penjaja, food truck, luton van, car boot sale, pasar raya mini dan kedai serbaneka.

Jelasnya, ini termasuk kedai runcit yang menyediakan kemudahan tempat makan, stesen minyak yang menyediakan kemudahan tempat makan, kompleks beli-belah, departmental store, pasar raya, perkhidmatan dobi, farmasi dan mini mart.

“Begitu juga dengan kedai perabot, kedai emas, kedai elektrik dan elektronik, kedai buku dan alat tulis, kedai hardware, kedai menjual makanan haiwan, ubatan dan keperluan lain serta kedai cermin mata dan alat optik,” ujarnya.

Dalam tempoh operasi yang sama, MBJB membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal antaranya joging, berbasikal, senam robik kendiri, hiking dan memancing.

“Aktiviti di padang bola sepak komersial, gimnasium, gelanggang futsal dan dewan badminton komersial yang mempunyai premis juga dibenarkan. Aktiviti lain antaranya kolam renang, berkelah, sukan tempur dan aktiviti bersentuhan fizikal adalah dilarang,” katanya.

Kegiatan industri kreatif katanya, misalnya rakaman muzik, konsert, penggambaran filem, bual bicara dalam atau luar studio tanpa penonton dibenarkan termasuk aktiviti busking di dalam bangunan dengan kebenaran mengikut tempoh operasi yang sama.

Sementara pengangkutan awam katanya, bas henti-henti, bas ekspres dan terminal pengangkutan awam serta perkhidmatan teksi/e-hailing dibenarkan beroperasi (6 pagi hingga 12 tengah malam).

Tambah beliau, maksimum dua penumpang yang dibenarkan melibatkan perkhidmatan teksi/e-hailing.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.