MBJ senaraikan 8 cabaran Johor hadapi Covid-19

single-image

KOTA ISKANDAR : Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad menyenaraikan lapan cabaran yang dihadapi Negeri Johor ekoran pandemik COVID-19.

Beliau berkata, antara cabaran getir yang dihadapi sepanjang memegang tampuk pentadbiran negeri ialah penguncupan pertumbuhan ekonomi pada kadar yang lebih rendah daripada ramalan paras nasional, iaitu pada -3.5 hingga -5.5 peratus.

Selain itu, menurut beliau, iklim perniagaan yang kurang memberangsangkan menyebabkan anggaran 5 hingga 10 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terpaksa ditutup akibat gangguan aliran tunai yang teruk.

”Sempadan Malaysia-Singapura yang masih belum dibuka secara sepenuhnya dan  penyusutan jumlah dagangan antarabangsa paling tinggi, iaitu RM22.8 bilion untuk suku kedua berbanding tahun sebelumnya menjadi antara cabaran yang dihadapi.

”Sepanjang negeri berdepan dengan wabak ini, penurunan lebih 20 peratus hasil kerajaan direkodkan. Bilangan penganggur juga meningkat sehingga 18 peratus hingga Jun 2020, selain jurang pendapatan yang meningkat dan tahap kemiskinan mutlak dan kemiskinan tegar yang meningkat, masing-masing pada 3.0 dan 0.2 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan rundingan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 2020 pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14, di sini hari ini.

Justeru, menurut YAB Menteri Besar, bagi mendepani cabaran itu, pakej-pakej rangsangan ekonomi negeri serta inisiatif bersasar dilaksanakan di bawah pentadbirannya.

”Khidmat bakti kita kepada rakyat juga sudah tidak boleh berjalan dengan cara lama. Malah, kita tidak boleh mempolitikkan semua perkara ketika negeri dan rakyat sedang diuji.

”Atas dasar itu, pakej-pakej rangsangan ekonomi negeri Johor serta inisiatif bersasar telah dilaksanakan di bawah pentadbiran saya,” katanya.

Sumber : Makmur Johor

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.