MBJ minta peruntukan selenggara saliran projek pertanian dipertimbang

single-image

BATU PAHAT : Kerajaan Persekutuan diminta untuk mempertimbangkan peruntukan bagi menyelenggara dan menyusun semula sistem saliran dan pengairan  projek Pertanian Johor Barat.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, antara salah satu matlamat projek itu suatu ketika dahulu adalah bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku di kawasan terlibat.

“Dahulu ada projek rancangan Johor Barat dilaksanakan bagi daerah Muar, Pontian dan Batu Pahat.

“Tujuan projek rancangan Johor Barat ini adalah projek tebatan banjir untuk mengatasi masalah banjir di sebelah pantai barat negeri Johor ini dan dalam masa yang sama untuk menaik taraf sistem saliran bagi kawasan Johor Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Cabutan Undi Kerja-Kerja di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi daerah Batu Pahat dan Pontian di pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di sini hari ini.

Yang turut hadir,  Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, YB Datuk Samsolbari Jamali dan Pengarah JPS Johor, Tuan Ir. Che Mohd. Dahan Che Jusof.

YAB Menteri Besar berkata, projek itu juga secara tidak langsung membolehkan kawasan pertanian di daerah-daerah terlibat diperluaskan.

Namun, selepas siap, tiada atau kurangnya penyelenggaraan terhadap projek berkenaan, katanya.

“Bukan bermaksud Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak merancang atau tidak punyai program untuk menyelenggara, tetapi kekangan peruntukan menjadi salah satu punca. 

“Akhirnya, hari ini lebih banyak kawasan yang suatu ketika dahulu tidak banjir, kini banjir, katanya.

Sumber : Makmur Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published.