MB Johor perlu bela diri, jaga nama parti

single-image

JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Pulai menegaskan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, perlu ada tanggungjawab mempertahankan dirinya dan nama parti berhubung dakwaan memiliki ijazah palsu.

Ketua BERSATU Bahagian Pulai, Ya’cob Atan, berkata pihaknya menganggap isu dakwaan itu sebagai fitnah dan laporan polis atau tindakan perundangan perlu dibuat, bukan hanya berdiam diri.

“Kita anggap ini (isu MB Johor miliki ijazah palsu) fitnah dan satu cara nak menyekat fitnah adalah bersuara, buat laporan polis dan ambil tindakan undang-undang, tidak boleh diam.

“Kalau anda sedang memandu dan ditahan oleh polis, diminta mengemukakan lesen yang tiada pada diri anda pada ketika itu, apa perlu jawab? Ada lesen tapi tidak bawa. Satu hari saya akan tunjuk. Itu sebagai orang yang rasional dan tidak bergaduh dengan polis.

“Tapi kalau saya diacukan dakwaan bahawa saya ini tipu, tentunya perkara yang waras saya lakukan adalah itu tidak betul. Ini sijil saya, ini lesen saya. Saya tidak berdiam diri,” katanya ketika ditemui pada program Kempen Derma Darah di sini, hari ini.

Ya’cob berkata, parti perlu menangani perkara itu secara bersama dan berbincang termasuk pada peringkat pengurusan.

“Perlu pertahankan diri dan maruah, begitu juga dalam politik, pertahankan diri dan parti saya. Tiada sijil tidak mengapa, tiada ijazah tidak mengapa. Tidak hina kita tiada itu, tiada gelaran Datuk Seri, tetapi yang hina itu adalah perbuatan curang dan tidak jujur, yang menyebabkan diri kita tidak boleh dipercayai.

“Saya yang juga peguam sejak 1985 hingga kini, menawarkan khidmat percuma kepada Menteri Besar untuk mempertahankan fitnah seperti ini,” tambahnya.

Katanya, BERSATU Pulai mahu bersama-sama dengan Osman untuk membela nama baik Menteri Besar itu dan parti.

Sumber : Berita Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.