Mangsa toksik Pasir Gudang saman RM10 juta

single-image

PASIR GUDANG : Mangsa pencemaran toksik di Pasir Gudang akan memfailkan saman RM10 juta kepada pihak yang bertanggungjawab menyebabkan masalah kesihatan bulan ini.

Ibu kepada salah seorang mangsa pencemaran Sungai Kim Kim, Norlela Abu Hashim, 45 berkata tindakan itu diambil selepas melihat kebajikan mangsa-mangsa itu tidak dibela.

“Kita masih sedang mengumpulkan bukti dan akan failkan kes ke mahkamah bulan ini kerana kita nak kumpulkan laporan perubatan mangsa.

“Sebab kita tengok tak ada pembelaan untuk mangsa sampaikan ada yang mata bermasalah tak boleh kawal pandangan, serangan saraf macam anak saya, ada yang sering sesak nafas dan pengsan.

“Jadi saya rasa kena saman sekurang-kurangnya RM10 juta untuk mangsa yang terjejas lebih kurang 40 hingga 50 orang ini sebab kita tak tahu masa depan kesihatan macam mana, berapa lama rawatan atau kesan jangka panjang,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan kesemua mangsa termasuk pencemaran Sungai Kim Kim dan pencemaran terbaharu Jun lalu kini bersatu di bawah Persatuan Kebajikan Mangsa-mangsa Toksik Pasir Gudang.

Anak Norlela, Irfan Wafiy, 12 disahkan menghidap Myokimia yang menyebabkan anggota badannya menggeletar dan menyebabkan aktiviti harian pelajar SK Taman Bukit Dahlia itu terbatas termasuk untuk berjalan.

Menurut Norlela, Irfan kini tidak dapat lagi melakukan aktiviti harian seperti biasa selepas menjadi mangsa pencemaran Sungai Kim Kim Mac lalu dan terlantar di hospital selama 10 hari.

Idham Wazir bercerita tentang keadaan Irfan.


“Balik sekolah selalunya Irfan main bola, kayuh basikal waktu petang tapi sejak sakit memang tak boleh buat apa dah. Cuma uma belajar dalam rumah, makan ubat dan tidur.

“Saya hantar ambil Irfan ke sekolah dan bawakan beg naik ke tingkat atas. Dia naik tangga sendiri pegang besi tangga. Lama juga untuk tunggu dia daki tingkat tiga,” katanya.

Berkongsi perasaannya sebagai ibu melihat keadaan anak lelakinya yang tidak lagi seperti dulu, Norlela akui tiada perkataan yang boleh menggambarkan perasaannya.

“Kalau sebagai ibu saya tak ada perkataan boleh gambarkan perasaan saya lihat anak yang sakit, tak ada jawapan kesihatan dia. Tak ada ubat yang sesuai lagi, try and error kita pun buntu.

“Kita tak tahu masa depan dia macam mana sebab pakar pun tak pasti dia akan sembuh atau tidak,” katanya.

Sementara Irfan ketika ditanya rasa sakit yang dialami pada betisnya, pelajar Darjah Enam ini akui rasa sakit seperti mencucuk sehingga tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun.

“Rasa sakit pada kaki mencucuk, sakit sangat. Kalau pegang sini (satu bahagian dengan jari) terus rasa sakit pada semua bahagian.

“Kalau jalan rasa sakit, cepat lenguh tapi tapak kaki tak sakit,” katanya yang kelihatan lemah dan tidak bercakap di sisi ibunya.

Bapanya, Idham Wazir A. Wahab, 49 yang sebelum ini menarik perhatian selepas videonya menerjah sesi ‘townhall’ antara industri dengan Menteri Tenaga, Sains,,Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, Isnin lalu berkata gelombang kedua pencemaran udara itu akhirnya membuka mata semua pihak tentang bahayanya kesan pencemaran toksik itu.

Tegasnya, sebagai kerajaan, pihak yang terlibat perlu mencari jalan mengesan punca yang menyebabkan gelombang kedua pencemaran di Pasir Gudang tercetus lagi, Jun lalu.

“Kalau kerajaan tak tahu, carilah pakar luar yang boleh selesaikan isu ini. Buat apa nak cari alasan, dolak dalik lagi?

“Nak siasat ini pakai duit juga tapi tak ada hasil jadi lebih baik keluarkan duit upah pakar luar dan ada hasil,” katanya yang berhenti kerja sebagai jurutera bagi menumpukan perhatian pada Irfan.

Sumber : Sinar Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.