Mangsa di Pasir Gudang terus meningkat tapi MB Johor menghilangkan diri?

single-image

Hari ini sudah masuk hari kelapan insiden pencemaran toksik di Pasir Gudang akibat pembuangan sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim pada minggu lepas. Terbaru, apa yang dimaklumkan kawasan yang terjejas juga dikatakan semakin meluas dan ramai mangsa dipindahkan ke Stadium Pasir Gudang kerana tidak dapat menampung jumlah mangsa yang ramai.

Dimaklumkan jumlah orang awam yang terjejas meningkat kepada 2,775 orang berbanding semalam 975 orang. Malah mangsa yang dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) juga sudah meningkat kepada 10 orang. Lebih menyedihkan antara beribu-beribu mangsa yang terjejas turut melibatkan bayi berusia 3 bulan yang terkesan dengan pencemaran toksik di sekitar kawasan Pasir Gudang.

Sehingga kini kerajaan masih mengelak untuk mengisytiharkan darurat di kawasan terlibat. Kerana apa? Baik Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar Johor dan semua Exco kerajaan negeri masih cakap keadaan di Pasir Gudang tidak teruk dan masih terkawal.

Persoalannya jika keadaan di Pasir Gudang masih terkawal, kenapa mangsa yang terjejas akibat pencemaran toksik semakin meningkat dari hari ke hari?

Lebih menghairankan lagi, hingga ke hari ini pihak kerajaan langsung tidak mendedahkan nama kilang yang menjadi dalang kepada pencemaran toksik ini. Malah, kenapa tiada sebarang makluman awam diberikan setiap masa berkenaan isu ini? Jelas apa yang boleh dilihat ada sesuatu yang tidak kena dan seperti ada sesuatu yang cuba disorokkan.

Dalam pada itu, saya sokong kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa jika tidak ingin mengisytiharkan darurat tidak apa-apa tetapi sekurang-kurangnya keluarkan arahan untuk kosongkan kawasan terbabit sehingga semuanya stabil dan selamat.

Tetapi malangnya, tindakan seperti itu tidak dilakukan sehingga hari ini. Adapun Menteri Besar Johor, Osman Sapian hanya menasihatkan penduduk di sekitar Pasir Gudang tutup pintu rumah sahaja. Ini kerana dalam sidang medianya sebelum ini Osman Sapian menyifatkan kejadian pencemaran toksik yang berlaku di Pasir Gudang bukanlah satu isu besar.

Dalam keadaan yang sedang teruk dan huru-hara ini timbul pula satu cerita yang kurang enak untuk didengari. Apabila ada desas-desus yang mengatakan bahawa Menteri Besar Johor, Osman Sapian hilangkan diri menaik feri ke Batam. Adakah dakwaan ini betul? Jika ia benar-benar berlaku, memang benarlah kerajaan Johor ini adalah sebuah kerajaan yang gagal dan tidak bertanggungjawab.

Adakah rakyat di Batam lebih memerlukan Osman Sapian daripada rakyatnya sendiri di Pasir Gudang?

Sepatutnya apabila negeri sedang berhadapan dengan musibah apatah lagi melibatkan beribu-ribu rakyat, Menteri Besar dan barisan Exco perlu menangguhkan dahulu buat seketika perkara-perkara lain. Apa yang penting sekarang, mereka perlu sentiasa ada bersama rakyat dan memberikan khidmat kepada rakyat kerana itu adalah tanggungjawab mereka sebagai pemimpin yang sebenar.

Jika dilihat pada kenyataan yang diberikan Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal seolah-olah memberi signal bahawa MP Pasir Gudang juga sedang hilang dari radar. Dek kerana ini YB Dr Sharuddin terpaksa menyeru YB Pasir Gudang untuk bersama-sama dengannya berjumpa rakyat di Pasir Gudang.

Tidak pasti apa sudah jadi dengan kerajaan yang sedia ada sekarang ini. Adakah nyawa rakyat sangat murah di mata pemimpin-pemimpin negeri dan rakyat tidak penting bagi mereka? Harapnya kejadian di Pasir Gudang ini boleh membuka mata pemimpin-pemimpin di Malaysia agar mengutamakan rakyat lebih daripada segalanya.

Dhia Hani merupakan Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.