Lupakah Abdul Latif?

single-image

CAKAP siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.

Peribahasa itu cukup sesuai ditujukan kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad yang juga Ahli Parlimen Mersing apabila mendakwa UMNO di Sabah tidak lagi laku dan ramai ahlinya ‘berhijrah’ menyertai Bersatu.

Persoalannya, adakah Abdul Latiff sedar apa diperkatakannya dan adakah beliau ‘dalam khayalan’ ketika membuat kenyataan itu?

Lupakah Abdul Latiff bahawa:

*Jentera parti mana yang membantunya sehingga membolehkannya menang kerusi Parlimen Mersing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu?

*Jika tiada penyertaan UMNO, adakah kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) boleh dibentuk?

*Parti manakah yang merupakan penyumbang terbesar dalam kerajaan PN?

*Jika tidak terbentuknya PN, adakah Abdul Latiff boleh bergelar menteri pada ketika ini?

*Apakah faktor utama yang memperkukuhkan kerajaan PN pada ketika ini?

Kesemua lima persoalan utama ini, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor percaya Abdul Latiff tahu jawapannya jika beliau tidak ‘khayal’.

Jika Abdul Latiff terus ‘khayal’, ia sememangnya boleh mengeruhkan semangat dalam PN yang dibina atas faktor hormat-menghormati, harga-menghargai, dengan bersandarkan kepada proses syura dalam membuat keputusan.

Sebagai seorang menteri dalam kerajaan PN, adakah wajar Abdul Latiff membuat kenyataan sedemikian? Layakkah beliau bergelar menteri?

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor kecewa dengan kenyataan Abdul Latiff yang langsung tidak menjaga semangat setiakawan dalam PN.

Dalam video yang viral di media sosial bekas Ketua Bahagian UMNO Mersing itu berkata, UMNO di Sabah tidak lagi laku dan ramai ahlinya yang telah menyertai Bersatu.

“Saya orang yang melompat, teruk juga saya kena kutuk. Biasa la tu. Kalau tak nak tak payah masuk politik. Saya tak ada Facebook, Instagram, Twitter jadi orang tak boleh hentam saya. Kalau dia hentam saya pun saya tak tahu, sebab saya tak ada.

“Orang Sabah dia tak panggil lompat. Dia kata hijrah. Biasa. Daripada Berjaya pergi ke USNO, Berjaya pergi PBS, PBS pergi UMNO, UMNO sekarang ini tak laku lagilah. UMNO di Sabahlah. Itu realitinya. Kerana orang sudah tidak yakin. Semua orang dia dah lompat, dia hijrah ke Bersatu,” kata Abdul Latiff dalam video itu.

Ketahuilah dan sedarlah Abdul Latiff bahawa UMNO konsisten sejak awal penubuhan PN dan kekal setia memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Janganlah disebabkan oleh seekor ‘nyamuk’, akhirnya memberikan kesan buruk kepada PN.

Hormatilah semangat dan kerjasama dalam kerajaan PN dan janganlah disebabkan oleh nila setitik, habis rosak susu sebelanga.

MOHD HAIRI MAD SHAH
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.