Lapan cara galakkan anak berpuasa dengan seronok tanpa paksaan

single-image

Berikut adalah beberapa tips untuk ajar anak berpuasa sejak kecil.

1. Periksa Kemampuan Anak

Penting untuk ibu bapa memahamkan anak tentang keutamaan solat berbanding puasa.

Libatkan mereka dalam solat sehari-hari dan dari situ, anda akan mendapati lebih mudah untuk anak memahami dan menjalankan ibadah puasa dengan rela hati.

Oleh itu, jangan membandingkan anak anda dengan orang lain. Sebaliknya, lihatlah kemampuan anak sendiri sama ada mereka bersedia untuk melakukan ibadah puasa.

2. Bercerita Tentang Puasa

Lakukan aktiviti yang menyeronokkan untuk membantu anak memahami tentang ibadah puasa.

Anda boleh berbual santai, membaca buku cerita, membuat kraf, lakonan boneka, atau menonton kisah Upin dan Ipin tentang puasa.

Kita tidak mahu mendidik anak supaya menganggap Islam adalah agama yang susah. Sebaliknya, ia adalah fitrah dan bersesuaian dengan semua manusia.

3. Rancang Secara Berperingkat

Bagi yang pertama kali berpuasa, latihlah mereka secara berperingkat.

Menurut Perunding Paediatrik Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Fadzillah Ghazali melalui sebuah artikel, ibu bapa boleh memulakan dengan beberapa jam terlebih dahulu.

Kemudian barulah diikuti dengan separuh hari dan seterusnya beberapa hari mengikut kemampuan anak.

Rutin seperti ini seeloknya dipertingkatkan setiap tahun tibanya bulan Ramadan. Dengan cara ini, mereka lebih bersedia dan tidak rasa terpaksa untuk berpuasa.

4. Sediakan Jadual Aktiviti

Apabila anak berpuasa nanti, mungkin anak akan kurang aktif kerana letih.

Oleh itu, anda boleh cari idea-idea menarik atau DIY untuk mereka membuat aktiviti indoor yang melekakan.

Antaranya mewarna, menghias rumah, bermain play doh, blok binaan, melukis, membaca buku cerita, atau membuat kraf.

5. Hidangkan Makanan Kegemaran Untuk Bersahur & Berbuka

Ibu-ibu perlu lebih kreatif di bulan Ramadhan ini dalam memastikan anak-anak mengambil keperluan makanan yang seimbang ketika bersahur dan berbuka. Carilah resepi yang menggabungkan makanan kegemaran mereka dengan keperluan sihat seperti nugget bersayur atau smoothie kurma dan coklat.

Bersederhana adalah kunci utama. Pastikan mereka minum air yang mencukupi dan tidak lupa memakan buah-buahan dan sayuran agar pencernaan mereka tidak terganggu.

6. Lewatkan Waktu Sahur Mereka

Anak-anak mungkin ‘liat’ untuk bangun pagi, apatah lagi bersahur.

Kalau anak dibangunkan terlalu awal, kemungkinan besar mereka akan tertidur semula sebelum sempat menunaikan solat Subuh.

Sebaiknya, anda juga berbual-bual dengannya, menyalakan lampu yang terang, dan menjadikan suasana bersahur meriah agar mereka tidak mengantuk.

7. Boleh Berbuka, Tapi Kekalkan Mood Puasa

Jika anak tidak mampu berpuasa, biarlah mereka berbuka. Namun, seeloknya kekalkan anak dalam mood berpuasa.

Ada 1 tip menarik yang pernah dikongsikan oleh seorang Pengetua Sekolah. Beliau berkata, bila anak mengadu lapar, bagi dia minum segelas susu dan makan sekadarnya. Kemudian, beritahu elok-elok, “Lepas ini kita cuba puasa balik ya.” Maksudnya, apa yang mereka makan itu ibarat sahur semula.

Mudah-mudahan dengan cara ini juga, mereka dapat belajar juga untuk menghormati bulan puasa dan rasa gembira apabila berbuka dengan ibu bapa sewaktu Maghrib nanti.

8. Beri Pujian Dan Kata Positif

Apabila anak berjaya berpuasa mengikut waktu tertentu, ucapkan tahniah kepada mereka. Walaupun 2-3 jam, walaupun setengah hari.

Jika mereka nampak seperti mahu berputus asa, berikan galakan. Mereka bukannya sengaja mencari alasan bermanja, tetapi sebenarnya sokongan ibu bapa amat diperlukan pada ketika ini. Jadi, anda perlu bersedia meluangkan masa untuk mereka.

Islam Adalah Agama Yang Penuh Kelembutan & Kasih Sayang

Dalam melatih anak berpuasa, lakukanlah ia dengan penuh hikmah. Elakkan memaksa dengan keras sehingga kewajipan lain; seperti solat, dianggap ringan oleh anak-anak.

Kalau anak tak mampu berpuasa, jangan sesekali mengejek, mengungkit, atau memalukan anak yang tidak berpuasa di hadapan orang lain. Ia boleh menjadikan mereka kurang yakin diri dan tak mahu mencuba lagi.

Sumber : GPS Bestari

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.