Lans Koperal ditahan bersubahat dengan sindiket dadah

single-image

ANGGOTA polis berpangkat Lans Koperal ditahan Khamis lalu kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang menjadikan Muar sebagai lokasi menyeludup keluar bahan itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota polis berusia 40 tahun dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar itu ditahan susulan tangkapan tiga suspek sindiket berkenaan pada 6 Jun lalu.

Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Muar bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua melancarkan operasi khas dadah membabitkan serbuan di sekitar daerah berkenaan.

“Semuanya bermula pada 1 Jun lalu apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya merampas sebanyak 25 kilogram (kg) syabu dan 14 kilogram ecstasy di Pantai Muara Parit Samsu, Muar namun dua suspek terbabit melepaskan diri.

“Susulan itu, satu operasi khas dilancarkan 6 Jun lalu oleh BSJN Daerah Muar bersama PPM Wilayah Dua sebelum berjaya menahan kedua-duanya termasuk seorang lagi suspek bersama sejumlah dadah.

“Hasil soal siasat terhadap tiga suspek membawa kepada penahanan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dari IPD Muar yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa berkenaan pada Khamis lalu.

“Kesemua empat suspek termasuk anggota polis yang ditahan itu berusia antara 23 hingga 40 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, hasil siasatan awal mendapati sejumlah 33 kg syabu dipercayai dibawa dari utara tanah air ke Muar untuk diseludup ke Indonesia menerusi jalan laut.

“Daripada jumlah itu, 25 kg syabu sudah dirampas PPM Wilayah Dua pada 1 Jun lalu dan polis masih mengesan 6 kg lagi syabu bersama dua anggota sindiket berkenaan yang masih bebas.

“Dalam serbuan 6 Jun lalu, polis berjaya merampas 2.1 kg syabu bernilai RM84,000 dan sebuah kereta dengan nilai RM10,000,” katanya.

Ayob Khan berkata, anggota polis berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 (LLPK).

Katanya, tiga lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan kesemuanya direman 11 hari.

Beliau berkata, dua suspek yang ditahan juga didapati positif dadah dengan semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai empat rekod lampau kesalahan dadah.

Sumber : Harian Metro

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.