KWSP : RM2,000 sebulan selama 5 bulan

single-image

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mencadangkan supaya pencarum dibenarkan mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 KWSP mereka secara ‘one off’ sehingga RM10,000

Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Johor, cadangan itu cukup baik untuk dilaksanakan kerana rata-rata rakyat begitu terkesan dan terhimpit ekoran penularan Covid-19 di negara ini.

Hakikatnya, rakyat atau pencarum bukan hendak mengeluarkan keseluruhan simpanan sehingga boleh menjejaskan perancangan masa hadapan sebaliknya tidak melebihi RM10,000.

Kita faham tentunya banyak pro dan kontra disebalik cadangan itu. Antara kontranya:

*KWSP mungkin akan berdepan kekurangan dana yang sangat besar sekiranya cadangan pengeluaran wang daripada Akaun 1 dilaksanakan.

*Jika keadaan itu berlaku, ia boleh menjejaskan ekonomi negara pada masa depan.

*Rakyat yang tidak banyak simpanan, akan terjejas kerana kurang wang persaraan untuk hari tua.

Bagi pronya pula:

*Membantu rakyat yang begitu terkesan dan terhimpit ekoran penularan Covid-19.

*Kuasa beli rakyat dapat ditingkatkan sekali gus baik untuk kitaran ekonomi negara.

Itu sebahagian antara pro dan kontra berhubung cadangan mengeluarkan simpanan Akaun 1 KWSP, namun kita beranggapan bahawa apa yang utama ketika ini adalah KEBAJIKAN RAKYAT yang terjejas teruk ekoran penularan pandemik Covid-19.

Buat masa ini, kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada rakyat, jadi bagi Pergerakan Pemuda UMNO Johor, kita menyokong cadangan itu, cuma ia perlu dilakukan secara bersyarat.

Syaratnya adalah, pengeluaran RM10,000 itu dilakukan secara bersasar iaitu hanya kepada mereka yang memerlukan.

Selain itu, pengeluaran bukan dibuat secara sepenuhnya ataupun lump-sum, tetapi dibayar secara bulanan. Mungkin RM2,000 setiap bulan untuk jangka masa selama lima bulan.

Dengan cara itu, duit berkenaan dapat dibelanjakan oleh rakyat secara berhemah sekali gus membantu mengurangkan beban rakyat kerana keadaan ekonomi rakyat belum pulih ekoran penularan Covid-19 yang masih belum berakhir.

BAJET 2021

Bajet 2021 akan dibentangkan oleh kerajaan pada 6 November ini (Jumaat) di Dewan Rakyat. Tentunya rakyat menantikan apa intipati bajet berkenaan.

Hakikatnya, pada ketika ini adalah sukar untuk kerajaan melaksanakan bajet yang dapat membantu semua pihak secara menyeluruh dalam usaha menangani wabak Covid-19 dan meminimumkan impak kepada ekonomi negara.

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berpandangan, Bajet 2021 secara bersasar sangat sesuai untuk dilaksanakan ketika ini terutama bagi golongan yang mudah terkesan.

Bajet bersasar ini penting bagi memastikan kitaran ekonomi negara akan dapat berfungsi melibatkan pelbagai pihak dan pelbagai lapisan.

Kita dapat lihat bagaimana pelbagai bantuan sokongan seperti dahulunya dikenali Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), sekarang ditukar namanya kepada Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Sara Hidup (BSH) dapat membantu menggerakkan ekonomi negara.

Selain itu, tumpuan Bajet 2021 tentunya perlu dipertingkatkan dari aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin Covid-19 dan peruntukan bagi membantu golongan terkesan khususnya petugas barisan hadapan.

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mencadangkan supaya setiap kerajaan negeri diberikan geran atau peruntukan yang besar oleh kerajaan pusat untuk membantu menangani kesan Covid-19. Ia seperti bantuan terus dari kerajaan untuk menaik taraf hospital bagi memastikan semua hospital mempunyai unit baru atau bagunan baru iaitu wad khas Covid-19 dan saringan percuma kepada semua masyarakat yang ingin membuat swab test.

Negara pula hari ini dikejutkan dengan peningkatan mendadak indeks kes baharu covid19, oleh itu kerajaan juga perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 terus diperketatkan seperti di sekolah, masjid, rumah-rumah ibadat dan pejabat-pejabat kerajaan dan swasta.

Apa yang penting adalah, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berharap Bajet 2021 lebih kepada bajet untuk RAKYAT bukan demi populariti.

MOHD HAIRI MAD SHAH
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published.