Kulit buku persenda jata negara

single-image

KUALA LUMPUR : Kulit sebuah buku yang bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope In New Malaysia’ menimbulkan kegusaran orang ramai kerana ia secara terang-terangan mempermainkan jata negara.Buku yang disunting oleh penulis, Kean Wong itu mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan turut dikongsi di pautan laman sosial Facebook sebuah syarikat buku, Ilham Books.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki ketika mengulas tentang buku itu berkata, lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

“Perbuatan ini jelas menggambarkan betapa penulis buku seolah-olah merendah-rendahkan martabat jata negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2016, memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM 20,000.00 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk jata negara secara tidak wajar.

“Nampaknya Akta yang baru dipinda dengan meningkatkan hukuman 20 kali ganda pada tahun 2016 belum cukup menggerunkan sesetengah pihak sehingga sanggup secara terbuka membuat penghinaan terhadap lambang rasmi negara, melalui penerbitan buku sebegini,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Asyraf berkata, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak pihak penulis, penyunting dan penerbit buku tersebut disiasat dan diambil tindakan tegas jika benar terbukti wujud motif untuk berlaku biadab dan menghina lambang rasmi negara.

Kementerian Dalam Negeri juga, katanya, harus segera mengambil langkah menggantung penerbitan dan pengedaran buku ini untuk mengelakkan daripada terlepas ke luar negara, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata masyarakat dunia.

Sumber : MalaysiaGazette

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.