Kongres Maruah Melayu: Wayang Politik Tun Mahathir

single-image


7 Oktober 2019

  1. Kongres Maruah Melayu adalah wayang politik terhebat Tun Mahathir setakat ini. Beliau telah berjaya memainkan sentimen seakan umat Melayu seantero dunia perlu mendengar ‘wasiat terakhir’ tokoh Melayu neo-liberal ini. Dengan mengumpulkan semua pemimpin dari segenap institusi politik negara, maka beliau telah memberi anggapan bahawa semua orang Melayu telah menyokong beliau. Tidak sama sekali.
  2. Maka di sini saya terpanggil untuk menyenaraikan beberapa perkara yang perlu kita ambil perhatian daripada Kongres Maruah Melayu ini.
  3. Pertama, kongres ini tidak inklusif dan bukan untuk semua orang Melayu. Ia tidak lahir dari keterdesakan orang Melayu bagi membangun serta memulihkan bangsanya. Ia bukanlah gerakan masa dan gerakan kebanyakan orang Melayu untuk survival bangsanya. Sudah semestinya, ia adalah perhimpunan politik untuk menunjukkan kekuasaan dan keegoan Tun Mahathir.
  4. Kedua, kongres ini telah secara langsung memperkudakan universiti-universiti awam untuk tujuan politik sebuah parti dan cita-cita pemimpinnya bernama Tun Mahathir. Itu sahaja. Segala resolusi yang dikatakan hasilan cendekiawan Melayu, tidak langsung disentuh dan di ulas oleh Tun Mahathir dalam pidatonya. Adakah pusat pengajian kita akan terus dipergunakan oleh BERSATU dan Tun Mahathir atas nama Melayu? Tidakkah mereka dahulu yang sering melaungkan bahawa universiti harus bebas dari genggaman ahli politik?
  5. Ketiga, kongres ini tidak akan boleh menyaingi Muafakat Nasional UMNO-PAS, kerana ia bukanlah satu wadah pemberdayaan bangsa melalui kesatuan politik. Tun Mahathir mula menyedari bahawa, BERSATU bukanlah sebuah parti Melayu yang besar, signifikan dan terbukti jasanya seperti UMNO malahan PAS. Tambahan pula dengan populariti Pakatan Harapan serta Tun Mahathir sendiri yang semakin menurun, nampak begitu terdesak sekali mereka ingin menjadi relevan kepada orang Melayu. InsyaAllah orang Melayu tidak akan sekali lagi ditunggangi Tun Mahathir untuk kepentingannya sendiri.
  6. Keempat, Tun Mahathir gagal menggunakan kesempatan di kongres itu untuk menjelaskan tawaran Kerajaan pimpinannya untuk memelihara dan membangun keberdayaan bangsa Melayu. Kalau sekadar untuk menegur sikap bangsa Melayu, ia boleh dilakukan dalam Perhimpunan Agung BERSATU sahaja. Nyatakan transformasi bagaimana yang akan Kerajaan PH lakukan untuk bangsa Melayu tanpa rasa apologetik. Kesimpulannya, maruah Melayu hanya layak di kongreskan di luar Kerajaan, dan bukannya di angkat menjadi agenda tuntas Pakatan Harapan dek kerana pengaruh DAP yang sangat luar biasa dan tidak akan memungkinkan ia berlaku.
  7. Secara langsung, Kongres Maruah Melayu ini tidak sama sekali mendapat perhatian dan menjadi perbualan ramai orang Melayu. Ia dilihat sebagai sebuah perhimpunan elit Melayu yang tamakkan kuasa dan tidak putus-putus merendah-rendahkan bangsa sendiri, demi kelangsungan politik dan kuasa peribadi masing-masing.

Mohamed Khaled Nordin(MKN)
Naib Presiden UMNO

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.