Komitmen BN Johor Dalam Memperkasakan Golongan Mahasiswa

single-image

Kita sedia maklum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semakin hampir dan tentu debarannya kian terasa oleh seluruh rakyat Malaysia. Dan setakat hari ini, kebanyakkan parti yang bertanding dalam PRU14 sudahpun membentangkan manifesto mereka di hadapan penyokong masing-masing.

Tidak ketinggalan Barisan Nasional Negeri Johor (BN Johor) yang juga telah berjaya mengumumkan secara keseluruhan perancangan dan inisiatif sepanjang tempoh lima tahun akan datang.

Apa yang dapat saya lihat manifesto BN Johor pada kali ini telah digarap dengan baik dan mempunyai visi dan misi yang tersendiri. Dalam pada itu, saya dapat menyifatkan intipati dalam manifesto BN Johor ini juga merupakan perancangan yang terbaik untuk membangunkan Johor secara inklusif.

Hal ini kerana intipati manifesto yang diumumkan ini menyentuh segenap aspek dan juga merangkumi setiap golongan rakyat Johor. Tidak terkecuali juga golongan OKU, Wanita, Orang Muda Johor dan lain-lain termasuk golongan mahasiswa.

Sebagai mahasiswa Johor seharusnya mereka merasa bertuah kerana golongan ini menjadi salah satu fokus utama yang diketengahkan oleh BN Johor. Bukan itu sahaja, mereka juga turut diberi tumpuan yang khusus dalam membangunkan negeri Johor ke arah dekad yang lebih baik iaitu Dekad Baharu Johor.

Jadi pastinya tawaran masa hadapan yang ditawarkan kepada mahasiswa Johor merupakan tawaran yang paling istimewa. Secara tidak langsung mampu menjadi pemangkin dan paradigma kepada mahasiswa Johor untuk memajukan diri mereka ke arah yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Memandangkan mahasiswa Johor ini merupakan aset terpenting bagi negeri Johor. Jadi saya dapat melihat keseriusan yang ditunjukkan oleh BN Johor untuk mengangkat golongan ini ke peringkat yang lebih tinggi. Amatlah wajar jika BN Johor menyediakan inisiatif sebegini rupa kepada mahasiswa Johor.

Pertama, perkara utama yang dilakukan oleh BN Johor adalah dengan mengurangkan beban kos pendidikan mahasiswa Johor. BN Johor akan memperluaskan kumpulan penerima Tabung Pendidikan Sarjana PDT kepada mereka yang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D). Selain daripada meningkatkan jumlah penerima peringkat sarjana.

Seterusnya, melonggarkan syarat permohonan Biasiswa Kenangan Dato’ Onn (BKDO) bagi melayakkan lebih ramai pemohon dengan menambah sasaran jumlah penerima sehingga 400-500 setiap tahun. Dan juga memperluaskan Skim Pinjaman Pendidikan Tanpa Faedah (Qard Hassan) kepada lebih ramai anak Johor. Usaha ini sedikit sebanyak merupakan langkah awal untuk membantu golongan mahasiswa Johor.

Kedua, mahasiswa merupakan pemegang taruh untuk menjayakan setiap inspirasi negeri Johor. Jadi BN Johor sangat komited dalam merancang agenda kepimpinan masa hadapan negeri Johor. Salah satunya adalah dengan memperuntukkan sebanyak RM2,000 dana pengurusan kepada setiap persatuan anak Johor. Ini bermakna ia akan memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 orang ahli.

Seterusnya, sebagai bukti BN Johor terus kekal komited adalah dengan meneruskan dan menambahbaik Program Duta Jauhar dan meningkatkan penyertaan dalam Karisma Ta’zim. Dengan adanya inisiatif ini, ia dapat mengasah bakat dan kemahiran mahasiswa dalam bidang kepimpinan.

Ketiga, bagi memantapkan urus tadbir di negeri Johor, BN Johor juga tidak ketinggalan untuk mewujudkan satu budaya urus tadbir yang telus, inklusif dan berintegriti. Dengan adanya kesedaran ini, BN Johor telah menawarkan satu inisiatif yang amat sesuai untuk direbut oleh mahasiswa Johor. Tawaran tersebut adalah dengan meluaskan penganjuran sesi keterlibatan awam seperti EXCO Awayday atau Pemukiman EXCO.

Melalui inisiatif ini, mahasiswa dapat membuat persediaan lebih awal untuk menceburi ke alam pekerjaan pada suatu hari nanti. Dalam pada masa yang sama, mahasiswa dapat didedahkan dengan persekitaran pentadbiran yang mengikut corak pentadbiran negeri Johor. Dan mereka juga dapat belajar menguruskan sesebuah organisasi dengan lebih berkesan.

Kesemua ini adalah perkara yang relevan untuk dilaksanakan oleh BN Johor jika terus diberi mandat untuk mentadbir negeri Johor dalam tempoh lima tahun akan datang. Namun, perkara ini tidak mampu diterjemahkan dengan mudah sekiranya tidak mendapat sokongan dan dorongan yang padu dari rakyat Johor khususnya mahasiswa Johor.

Hal ini kerana mahasiswa merupakan golongan yang mempunyai ‘kuasa beli’ yang besar dalam menentukan siapa yang benar-benar layak untuk mentadbir negeri Johor. Dengan erti kata lain, mahasiswa adalah tunjang utama dalam merealisasikan impian negeri Johor untuk menuju ke arah Dekad Baharu Johor.

Secara keseluruhan inisiatif yang digariskan dalam manifesto BN Johor buat mahasiswa Johor ini sememangnya mempunyai hala tuju dan perancangan yang jelas pada masa akan datang. Kesimpulannya, mahasiswa mampu membuat keputusan yang terbaik untuk masa hadapan negeri Johor. Sekali gus menjadi penyambung nadi pembangunan negeri Johor pada masa hadapan.

Oleh : Nor Syakinah Md Nukman

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.