Klinik pergigian kerajaan hanya kendali kes kecemasan

single-image

OLEH: Hamirul Hairi Mohd. Noh

KOTA ISKANDAR, 18 Mei: Klinik Pergigian di bawah kelolaan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) masih beroperasi, namun terhad bagi kes-kes kecemasan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, langkah itu dibuat bagi menjaga keselamatan pesakit dan mencegah penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata, berdasarkan normal baharu perkhidmatan pergigian, bilangan pesakit yang dibenarkan hadir pada satu-satu masa adalah terhad dan tempoh menunggu serta rawatan disingkatkan.

“Oleh itu, ada sebahagian daripada rawatan pergigian elektif tidak dapat diberikan buat sementara waktu.
Ketika ini, perkhidmatan pergigian yang disediakan terhad bagi kes-kes kecemasan.

“Kecemasan dalam pergigian boleh didefinasikan sebagai keadaan yang boleh meragut nyawa dan memerlukan rawatan segera seperti pendarahan sukar dihentikan, facial cellulitis (bengkak muka, dagu, pipi) dan kecederaan pada tulang muka yang boleh memberi kesan terhadap saluran pernafasan pesakit.
“Rawatan biasa seperti proses scaling (cuci gigi) dan tampalan mudah, atau pesakit tidak mengalami sebarang kesakitan atau masalah perubatan lain ditangguhkan buat sementara waktu sehingga keadaan penularan wabak COVID-19 terkawal dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, di negeri ini terdapat 60 klinik pergigian primer tetap dan 30 klinik pergigian lawatan bagi pesakit luar serta 23 klinik pergigian pakar pelbagai disiplin seperti Klinik Pakar Bedah Mulut dan Masilofacial, Klinik Pergigian Paediatrik, Klinik Orthodontik, Klinik Pergigian Restoratif, Klinik Pergigian Periodontik dan Klinik Pergigian Pakar Patologi dan Perubatan Mulut.

“Kedatangan pesakit luar pergigian di Johor pada tahun 2020 (Januari-Mac) secara purata 60,000 pesakit setiap bulan.

“Rekod menunjukkan terdapat penurunan ketara kedatangan pesakit luar pada bulan Mac, iaitu 50,933 orang berbanding Januari 68,413 orang atau sebanyak 25.54 peratus semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan,” katanya.

Mengenai kes positif COVID-19, YB Vidyananthan memaklumkan, daripada keseluruhan 668 kes, terdapat 46 kes membabitkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dengan tujuh orang berusia satu tahun ke bawah.

“Daripada jumlah itu, 31 kes telah sembuh,” katanya sambil menasihatkan ibu bapa supaya tidak membawa anak-anak keluar tanpa urusan penting, terutamanya ke tempat tumpuan awam bagi mengelakkan risiko dijangkiti virus maut berkenaan. – Makmur Johor

#BerdiriBersamaJohor

#StandWithJohor

#KeepJohorSafe

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.