Ketua kampung, mukim boleh sahkan status bakal pengantin

single-image

JOHOR BAHRU – Pasangan beragama Islam yang ingin bernikah di Johor boleh mendapatkan pengesahan akuan status diri bujang daripada penghulu mukim dan ketua kampung berkuat kuasa serta-merta.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi berkata, sebelum ini arahan mewajibkan pengesahan akuan status diri dibuat oleh pesuruhjaya sumpah.

Beliau berkata, keputusan itu, yang dicapai dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor hari ini, turut merangkumi pengesahan pemastautin bagi pasangan yang ingin bernikah serta status pengesahan duda dan janda.

“Untuk makluman, pihak penghulu dan ketua kampung selama ini tidak pernah mengenakan apa–apa bayaran kepada pasangan yang hendak bernikah.

“Sehubungan itu, tiada halangan bagi mana-mana pasangan yang mahu mendapatkan pengesahan daripada pesuruhjaya sumpah yang beragama Islam,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Tosrin berkata, pihak penghulu, ketua kampung dan pejabat kadi daerah tidak bertanggungjawab atas segala pengurusan yang dilakukan seperti kos yang dikenakan pesuruhjaya sumpah.

Sebelum ini, terdapat aduan yang diterima daripada pasangan ingin bernikah di negeri itu berkaitan pelaksanaan pengesahan status diri yang mensyaratkan pengesahan tersebut hanya boleh dilakukan oleh pesuruhjaya sumpah.

Menerusi surat bertarikh 23 Jun lepas, Jabatan Agama Islam Negeri Johor bersetuju pasangan yang ingin bernikah mendapatkan pengesahan diri melibatkan status bujang, dara, duda dan janda daripada pesuruhjaya sumpah beragama Islam sahaja. – Bernama

Sumber : Sinar Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.