Kes baharu Covid-19 tak jejas pembukaan sempadan

single-image

JOHOR BAHRU : Menteri Besar Johor,  YAB Datuk Haji Hasni Mohammad yakin kes baharu COVID-19 yang direkodkan di negeri ini tidak akan menjejaskan usaha pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura pada 10 Ogos ini.

Beliau menaruh keyakinan penuh terhadap langkah pencegahan termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

”Saya yakin dan percaya bahawa usaha kita (pembukaan sempadan Johor dan Singapura) tidak akan terjejas dengan beberapa kes baharu yang direkodkan di negeri ini baru-baru ini.

”Hal ini kerana kedua-dua negara telah memperkenalkan SOP yang ketat, khususnya daripada segi kekerapan saringan bagi mereka yang keluar masuk antara kedua-dua negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Undian Terbuka RMBJ C Taman Pulai Mutiara SP9 di Dewan Auditorium RTM, di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Tuan Haji Ayub Jamil.

Terdahulu, media melaporkan kewujudan kluster baharu COVID-19, iaitu kluster Rumah Warga Emas yang merekodkan 13 kes aktif kelmarin.

Dalam pada itu, YAB Menteri Besar berharap permintaan Kerajaan Negeri Johor supaya kategori ketiga, iaitu individu yang bekerja di Singapura dan berulang-alik secara harian dapat dibenarkan merentas sempadan dalam masa terdekat.

”Kita sedia maklum tentang kadar pengangguran yang meningkat di negeri ini selain pertumbuhan ekonomi yang agak perlahan.

”Keadaan ini ditambah dengan kos sara hidup yang tinggi di negeri ini. Justeru, pembukaan sempadan penting sebagai salah satu kaedah untuk merancakkan lagi ekonomi negeri ini,” katanya.

Sumber : Makmur Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published.