Kerajaan PH Johor langgar manifesto

single-image

KERAJAAN PH JOHOR LANGGAR MANIFESTO, LANTIK ADUN KERAJAAN SEBAGAI PENGERUSI PAC DUN JOHOR

9 Julai 2019

1. Usai Dewan Muda Johor (DMJ) menyerahkan Memorandum cadangan reformasi DUN Johor pada pagi Ahad lalu (7 Julai 2019), Menteri Besar Johor YAB Dato’ Dr. Sahruddin Jamal pada ucapan penggulungan beliau di Sidang DUN Johor telah melantik YB Tan Hon Ping, ADUN Skudai sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Raya (PAC) yang baru, bagi mengantikan YB Tan Chan Chen Choon, ADUN Tenang yang diangkat menjadi Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar.

2. Pelantikan ini secara jelas bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan di peringkat persekutuan yang menjanjikan agar Pengerusi PAC perlu diberikan kepada pihak pembangkang bagi mewujudkan suasana ‘semak & imbang’ dan dalam masa yang sama untuk meningkatkan wibawa Dewan Undangan Negeri (DUN).

3. Sebagai contoh, di Parlimen Malaysia, Kerajaan Pakatan Harapan dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir telah melantik Datuk Dr Noraini, Ahli Parlimen Parit Sulong daripada Barisan Nasional sebagai Pengerusi PAC dalam usaha Kerajaan PH mematuhi manifesto mereka.

4. Namun tindakan Menteri Besar Johor, Dato’ Dr Sahruddin Jamal bertindak melantik ADUN daripada blok kerajaan sebagai Pengerusi PAC amat mengecewakan DMJ kerana secara jelas bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan dan Reformasi DUN Johor yang DMJ dambakan.

5. Peranan dan mandat PAC adalah sangat penting untuk menyemak semua akaun awam dan memeriksa laporan audit negeri. PAC mempunyai kuasa untuk menyiasat semua urusan kerajaan dengan memanggil barisan Exco dan ketua agensi kerajaan untuk menjelaskan sebarang kemusykilan pihak jawatankuasa sendiri mahupun oleh orang ramai. Jika Pengerusi PAC dilantik daripada ADUN kerajaan, maka dikhuatiri berlakunya siasatan tidak telus dalam soal perbelanjaan kerajaan negeri, dan pelbagai lagi.

6. DMJ juga tidak pasti apakah yang ditakuti oleh Kerajaan PH Johor dalam isu melantik pembangkang sebagai Pengerusi PAC ini. Tindakan ini sangat mencurigakan dan seolah-olah bertindak untuk menyembunyikan sesuatu daripada umum.

7. Dalam hal ini, DMJ berikrar akan terus menjadi ‘third force’ dan kuasa pendesak untuk mendesak Kerajaan Negeri Johor untuk melantik wakil pembangkang sebagai Pengerusi PAC dan memenuhi janji manifesto mereka.

8. DMJ turut berharap pihak pembangkang DUN Johor berkongsi aspirasi yang sama dan mencontohi semangat pembangkang di Parlimen Malaysia yang bersungguh-sungguh memperjuangkan jawatan Pengerusi PAC ini dengan mendesak Tun Dr Mahathir mengantikan YB Ronald Kiandee dengan Datuk Dr Noraini sebagai Pengerusi PAC, walaupun pada awalnya Tun Dr Mahathir enggan berbuat demikian. Pembangkang Johor perlu memperjuangkan hak ini sehingga Kerajaan Negeri Johor menyerahkan jawatan Pengerusi PAC tersebut kepada pihak pembangkang!

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.