Kerajaan perlu kembalikan kuarantin wajib di pusat kuarantin.

single-image

Bermula 10 Jun yang lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan individu yang baru sahaja pulang dari luar negara dikehendaki menjalankan kuarantin selama 14 hari di rumah masing-masing.

Walau bagaimanapun, akhir-akhir ini trend kes aktif semakin bertambah dan ianya kembali cecah tiga angka manakala kes positif pula kembali dua angka. Lebih membimbangkan kes import hampir saban hari direkodkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Malah sepanjang PKPP ini juga sebanyak 13 kluster baharu di kesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Melihat kepada keadaan ini, amat wajar sekiranya pihak kerajaan mengembalikan semula pelaksanaan kuarantin wajib di Pusat Kuarantin ke atas mereka yang baru sahaja pulang dari luar negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Malah dengan cara ini juga dapat mengawal  dan memantau pergerakan mereka sepanjang berada di pusat kuarantin.

Kita sedia maklum apabila kerajaan memberi kelonggaran kepada mereka untuk kuarantin di rumah, ada segelintir individu yang culas dan ingkar dengan arahan berkenaan. Baru-baru ini, ada tular satu gambar seorang wanita yang memakai gelang kuarantin dengan sewenang-wenangnya makan di kedai. Ada juga kes yang membuang gelang kuarantin di KLIA. 

Malah kelonggaran yang diberikan ini juga turut disalahgunakan apabila individu sepatutnya menjalan ujian saringan kedua Covid-19 tetapi tidak melakukan hal sedemikian. Setakat ini seramai 225 orang yang gagal menjalani ujian saringan kedua. Kemungkinan besar jumlah ini akan semakin meningkat jika kerajaan gagal kembalikan kuarantin wajib di pusat kuarantin.

Perkara inilah membimbangkan semua pihak tambah lagi sekolah-sekolah di negara ini baru sahaja di buka semula. Harapan saya kerajaan dapat kembalikan semula kuarantin wajib di pusat kuarantin dan kosnya perlu ditanggung sepenuhnya oleh individu terbabit. Jangan sampai sikap tidak bertanggungjawab mereka ini bakal mencetuskan masalah kepada semua rakyat Malaysia. Kita semua tidak mahu berlakunya gelombang kedua dan PKP sekali lagi.

Sekian.

Sofia Ahmad Dani
Aktivis Muda Johor

Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress.

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.