Kerajaan negeri perlu isytihar darurat serta-merta – Pas Johor

single-image

JOHOR BAHRU : Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ) menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan yang lebih serius dengan mengistiharkan darurat di seluruh kawasan Pasir Gudang serta- merta dalam usaha menangani pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, langkah itu supaya punca sebenar pencemaran tersebut yang telah dikenal pasti itu dibersihkan dan diuruskan dengan sebaik-baiknya.

“Walaupun kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Menteri Besar Johor pada lewat petang semalam bahawa keadaan masih terkawal namun BPPNJ mendapati bahawa keadaan sebenarnya semakin membimbangkan kerana masih lagi terdapat penduduk terpaksa dikejarkan ke pusat rawatan.

“BPPNJ telah melihat dengan penuh teliti isu yang sedang dihadapi oleh penduduk di Pasir Gudang yang melibatkan pencemaran sisa kimia sehingga ratusan penduduk terpaksa dirawat di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih dan ada yang terpaksa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini yang kebanyakkannya melibatkan golongan pelajar sekolah dipercayai terhidu gas kimia berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini tengah malam tadi.

Justeru katanya, pengisytiharan darurat adalah langkah tepat dan perlu diumumkan ketika ini untuk kesejahteraan dan keselamatan penduduk di daerah tersebut.

Menteri Besar, Osman Sapian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di sini lewat petang semalam memaklumkan, kerajaan negeri tidak perlu untuk mengisytiharkan darurat khususnya di Pasir Gudang.

Menurut Menteri Besar, insiden pencemaran itu masih dalam keadaan terkawal dan kerja-kerja pembersihan di sepanjang jarak 1.5 kilometer sungai yang tercemar itu akan dilaksanakan secepat mungkin dan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh satu minggu.

Sumber : Utusan Online

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.