Kerajaan negeri lambat bertindak

single-image

Kenyataan Media
YB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi
ADUN Layang-Layang

1. Beberapa hari lalu sehingga kini, rakyat Negeri Johor dan Malaysia telah digemparkan dengan insiden pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang bermula pada Khamis lepas. Saya bersama warga Layang-Layang amat bersimpati kepada pelajar-pelajar dan juga keluarga-keluarga yang terkesan akibat bencana ini.

2. Pada masa yang sama, saya berharap pihak Kerajaan Negeri akan mengambil iktibar di atas apa yang berlaku semasa insiden ini. Kenyataan YAB Menteri Besar mewakili Kerajaan Negeri serta EXCO telah hanya dibuat pada 12 Mac 2019, iaitu selepas 5 hari gelombang pertama kejadian ini berlaku. Sehingga kini, jumlah mangsa telah meningkat secara mendadak kepada 506 orang setakat semalam. Sepatutnya Jawatankuasa Kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim ini boleh diaktifkan lebih awal atas dasar bencana seperti ini boleh merebak dengan pantas dan merbahaya pada penduduk sekitar.

3. Saya juga hairan kerana, tiada wakil khas Kerajaan Negeri yang dilantik sebagai jurucakap rasmi untuk memberikan informasi dan perkembangan terkini berkenaan apa yang berlaku. Di dalam sebarang inisiatif pengurusan krisis, antara perkara utama yang perlu diambil kira adalah komunikasi dan penyampaian mesej yang benar. Jika ini tidak dapat diuruskan dahulu, maka pelbagai spekulasi boleh merebak dan akan memburukkan lagi keadaan sedia ada. Tambahan lagi, ahli keluarga mangsa yang terjejas juga berhak untuk menerima informasi yang benar dan terkini, terus daripada pihak Kerajaan Negeri.

4. Seterusnya, sekolah-sekolah yang terlibat di sekitar radius Sungai Kim Kim sepatutnya ditutup terus sejak dari gelombang pertama lagi. Ia perlu dilakukan sehingga pihak berkuasa benar-benar pasti tiada perkara yang lebih mudarat akan terjadi. Dimaklumkan bahawa kerja pembersihan sudah dijalankan seawal Khamis lepas, maka sekali lagi amatlah wajar sekolah-sekolah berdekatan ditutup sehingga proses pembersihan selesai atau keadaan kawasan sekitar lebih selamat untuk para pelajar dan penduduk sekitar berurusan.

5. Ini merupakan bencana pertama yang perlu ditangani kerajaan Pakatan Harapan Negeri Johor. Meskipun mereka boleh bertindak dengan lebih pantas, namun apa sahaja tindakan untuk membaiki keadaan adalah amat dihargai. Namun begitu, Kerajaan Negeri harus merangka lebih banyak inisiatif, undang-undang serta mengukuhkan penguatkuasaannya agar tragedi ini tidak berlaku lagi di masa hadapan.

6. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak, terutamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Jabatan Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar, Polis Di-Raja Malaysia, dan semua agensi-agensi yang terlibat dalam membantu pengurusan bencana ini.

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.