Kerajaan Johor didesak perjelas kedudukan JCorp

single-image

ISKANDAR PUTERI : Kerajaan Johor diminta menjelaskan kedudukan sebenar syarikat-syarikat kepentingan kerajaan negeri itu terutama Johor Corporation (JCorp).

Ketua Pembangkang, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri sepatutnya tidak mengikut langkah diambil Kementerian Kewangan yang mahu melupuskan kepentingan dalam syarikat-syarikat kepentingan kerajaan kerana Johor mempunyai kekuatan dalam ekonominya.

“Adakah kerajaan negeri akan mengikut langkah dibuat Kementerian Kewangan melupuskan kepentingan kita dalam syarikat-syarikat kepentingan kerajaan negeri?

“JCorp dikatakan akan melupuskan kepentingan dalam QSR Brand Holdings Bhd melibatkan jenama KFC. Kerajaan negeri perlu ada pendirian tegas tentang hal ini,” katanya pada sidang media Barisan Nasional (BN) selepas pembentangan Belanjawan Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi; ADUN Rengit, Ayub Jamil; ADUN Tenggarah, K Raven dan ADUN Panti, Hahasrin Hashim.

Baru-baru ini media melaporkan mengenai rancangan QSR Brand (M) Holdings (QSR) dipercayai merancang menjual dua rangkaian restoran makanan segera miliknya iaitu Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Pizza Hut di Asia Tenggara pada harga kira-kira AS$1.96 bilion (RM6 bilion).

Rancangan penjualan itu dipercayai mempunyai kaitannya dengan masalah ekonomi di Malaysia yang perlahan dan kurang memberangsangkan di Asia Tenggara.

Berita mengenai rancangan penjualan restoran makanan segera itu dikongsi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Facebook miliknya.

Bagaimanapun Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika diminta mengulas perkara itu berkata, sehingga hari ini tiada lagi cadangan untuk jual sebaliknya QSR akan memberi fokus untuk mengukuhkan pengeluaran.

Sumber : Sinar Harian

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.