Kerajaan Johor bakal gagal menyiapkan RMBJ yang dijanjikan dalam manifesto?

single-image

Baru-baru ini kerajaan negeri Johor telah mengadakan satu Majlis Amanat 2020 di Johor. Dalam majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Johor, Dzulkefly Ahmad berpeluang memberi amanatnya mengenai perumahan di Johor. 

Menariknya, dalam ucapan amanatnya tempoh hari, Exco Perumahan ada menyebutkan tentang pembinaan Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ). Kita sendiri sedia maklum bahawa dalam manifesto Pakatan Harapan Johor pada Pilihan Raya Umum yang lalu mereka ada menjanjikan untuk membina sebanyak 100,000 unit rumah menjelang tahun 2023.

Walau bagaimanapun, melihat data yang dikemukakan dalam majlis tersebut, nampaknya kerajaan negeri Johor yang dipimpini oleh kerajaan Pakatan Harapan Johor bakal gagal untuk menyiapkan 100,000 unit rumah menjelang tahun 2023. Dalam pengiraan saya tahun 2025 pun belum tentu lagi siap kerana jumlah yang ada sekarang ini terlalu sedikit dan masih jauh untuk mencapainya.

Lihatlah, kerajaan hanya menyasarkan sebanyak 14,157 unit rumah sehingga tahun 2022. Itu belum tentu lagi sama ada berjaya atau tidak untuk mecapai sasaran sebanyak itu. Jadi mampukah kerajaan untuk menyiapkan bakinya hanya dalam tempoh setahun bagi mencapai target 100,000 unit pada tahun 2023?

Malah boleh dikatakan pada tahun 2018, jumlah pembinaan RMBJ sebanyak 2,035 unit itu bukan bulat-bulat hasil kerja kerajaan Pakatan Harapan Johor. Jangan lupa sebenarnya usaha tersebut hasil kerja yang disumbangkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. Logiknya, pada tahun 2018 kerajaan Pakatan Harapan Johor tidak memberikan sumbangan yang banyak terhadap pembinaan RMBJ ini. Jadi jangan pandai-pandai mahu ‘claim’ yang itu hasil kerja mereka.

Dalam pada itu, saya tidak pasti sama ada Exco Perumahan terlepas pandang atau apa. Sebelum ini, portal Johor Kini ada mengeluarkan satu artikel yang bertajuk ‘Johor berjaya siapkan 5,597 RMBJ tahun lepas’. Tahun lepas yang dimaksudkan itu adalah tahun 2019. Jadi apabila diamati semula dalam amanat tersebut Exco Perumahan mengatakan bahawa tahun 2019 hanya berjaya menyiapkan sebanyak 3,434 unit sahaja.

Perkara ini dilihat sama sekali bercanggah dengan kenyataan yang dikemukakan pada pertengahan Januari yang lalu. Mana satu betul ini? Adakah kenyataan yang dikeluarkannya itu hanya sekadar dongeng semata-mata? 

Dalam pada itu, menjadi tanda tanya, sebenarnya sepanjang menjadi kerajaan hampir dua tahun ini berapa ketul sahaja yang berjaya disiapkan oleh kerajaan Pakatan Harapan Johor? 

Apalah hendak jadi dengan kerajaan negeri hari ini, buat kerja pun tidak seberapa tetapi boleh pula dapat merasa naik kereta baharu. Berjoli dengan duit rakyat boleh, tetapi rumah untuk rakyat susah pula untuk disiapkan seperti yang dijanjikan. Ingat rakyat Johor masih berpegang dengan janji 100,000 unit rumah menjelang tahun 2023. Jangan bila tiba masanya nanti bermacam-macam alasan pula diberikan kepada rakyat sekiranya tidak berjaya disiapkan.

Sofia Ahmad Dani
Aktivis Muda Johor

*Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorPress.

Jom 'follow' dan 'like' kami:

Leave a Comment

Your email address will not be published.