Kerajaan ada ruang tambah pakej bantu rakyat

single-image

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempunyai ruang menambah pakej rangsangan ekonomi, selain menyemak semula Belanjawan 2021 bagi meningkatkan bantuan kepada rakyat dan perniagaan yang terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata jangkaan kadar defisit bagi tahun ini adalah sekitar 5.4 peratus.

“Oleh itu, ruang fiskal masih ada untuk kerajaan membuat pinjaman sama ada daripada sumber domestik atau luar.

“Suntikan fiskal tambahan ini boleh dilakukan jika PKP berlarutan melebihi tempoh dua minggu. Jika keadaan sangat memerlukan, kerajaan juga boleh memperkenalkan satu lagi pakej rangsangan ekonomi dalam anggaran bernilai RM10 bilion.

“Selain itu, semakan semula Belanjawan 2021 juga boleh dipertimbangkan di masa hadapan,” katanya kepada BH.

Irwan bagaimanapun berkata, langkah yang disarankan kepada kerajaan itu akan melonjakkan kadar defisit negara pada 2022, namun ia masih berada di bawah tahap tidak begitu membimbangkan sekitar enam peratus.

Katanya, kerajaan juga boleh memperkenalkan strategi baharu lebih mampan seperti Program Pendapatan Asas Negara dan konsep paras gaji kehidupan atau ‘living wage’ dalam usaha memperkasakan sistem keselamatan sosial di Malaysia.

“Selain itu, pertumbuhan ekonomi yang mungkin akan terbantut sedikit akibat PKP patut dilonjakkan kembali dengan pelaksanaan dasar monetari lebih efektif, seperti pengurangan dalam kadar faedah,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman, berkata berdasarkan unjuran kadar defisit 2021, kerajaan masih mempunyai ruang fiskal untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa membuat pinjaman bagi penyaluran bantuan itu.

Katanya, peruntukan dalam Belanjawan 2021 dijangka mencukupi untuk menampung impak PKP kali ini, selain langkah membenarkan pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bermula tahun ini.

“Pertimbangan yang wajar perlu dibuat untuk meringankan beban kewangan dihadapi rakyat akibat pelaksanaan PKP.

“Kaedah bantuan bersasar perlu diberikan dengan mengutamakan rakyat di enam negeri PKP. Saya menjangkakan suntikan fiskal itu adalah berskala kecil dan bersifat mini PENJANA,” katanya.

Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), PERKESO, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari pula berkata, bantuan kewangan wajar dipertimbangkan kepada rakyat jika pelaksanaan PKP berlarutan melebihi dua minggu.

Beliau berkata, bagi tempoh pelaksanaan PKP selama dua minggu ini, penyelidikan pihaknya berpandangan impak ekonomi adalah sederhana.

“Namun, bantuan bersasar kepada golongan terjejas terutama mereka yang bekerja di sektor tidak formal dan pekerja bergaji harian perlu diambil perhatian.

“Sekiranya PKP kali ini dilanjutkan, pakej rangsangan mini PENJANA yang bersasar perlu dipertimbangkan. Cadangan pakej rangsangan ini bertujuan untuk menyokong pemulihan sektor ekonomi dan pekerjaan yang terjejas,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.