Keputusan AG tak dakwa lelaki video semburit sungguh kelakar – Ronnie Liu

single-image

KUALA LUMPUR – Anngota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu terkejut dan hairan dengan keputusan Jabatan Peguam Negara yang tidak akan mendakwa mana-mana pihak dalam skandal video seks sejenis semburit hari ini.

Malah Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek menyindir alasan kononnya imej dalam video itu tidak begitu jelas sehingga menyukarkan pihak peguam mengenal pasti pelaku-pelaku sangat melucukan sekali.

“Identiti tidak begitu jelas? Ini sukar untuk dipercayai langsung terutamanya apabila salah seorang daripada pelaku itu sebenarnya telah membuat pengakuan secara terbuka.

“Malah bukti-bukti yang telah dihantar oleh lelaki (Haziq Aziz) kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) termasuk tempat, masa dan tarikh kejadian itu tidak dipakai.

“Saya berasa sangat kecewa walaupun sebenarnya keputusan ini tidak mengejutkan saya langsung. Ramai rakyat Malaysia di luar sana memberitahu saya mereka tidak percaya dengan pendedahan ini.

“Ini sungguh kelakar dan rakyat Malaysia bukan lahir semalam. Malah ada juga percaya ada pihak yang sedang di lindungi,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Ronnie mengulas kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang membuat keputusan pihaknya tidak akan mendakwa mana-mana pihak berhubung kes video seks semburit yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Tommy berkata, setelah menyemak keterangan yang dikumpulkan dan dikemukakan oleh polis kepada jabatannya, Timbalan Pendakwa Raya sebulat suara mengesyorkan tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung isu video itu.

Kata Tommy disebabkan dapatan tidak konklusif itu, PDRM telah menghantar video untuk dianalisa secara bebas oleh pakar forensik di Amerika Syarikat dan menerima keputusan analisa pada Disember lalu.

Mengulas lanjut, Ronnie yang juga merupakan Bendahari Otai Reformasi, ada juga cadangan yang diberikan oleh umum supaya kerajaan menghantar sahaja video skandal itu ke Huawei, China untuk dikenalpasti.

“Hantarlah video ini ke Huawei yang pakar dalam teknologi pengenalan wajah terkemuka dunia. Ada juga pihak mahu lihat sendiri keputusan hasil siasatan sebelum ini.

“Saya mengesyaki sesuatu, anda pula bagaimana,” soal Ronnie.

Melalui pengamatan MalaysiaGazette sebentar tadi, kenyataan Ronnie itu mendapat pelbagai reaksi yang menyokong pendapat tersebut.

Malah Ronnie juga dalam Facebook beliau berkongsi pandangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang video skandal tersebut.

Leave a Comment

Your email address will not be published.